Followers

Ahad, 7 November 2010

Pak Sheikh Masuk Hospital

Assalamualaikum .. Salam Hormat 

Dikhabarkan oleh seorang rakan, Tuan Haji Said bin Omar atau lebih mesra dengan panggilan Pak Sheikh telah dimasukkan ke hospital Melaka pada minggu lepas. Beliau yang merupakan salah seorang dari 'anchor' UMRI dimasukkan ke Wad kerana khuatir akan kesihatan diri yang tidak menentu. Bagi sesiapa yang ingin menziarahi beliau boleh lah melawat di Wad Lelaki Aras 3 bilik 2 Katil 2 Hospital Melaka. 

Kami mewakili seluruh komuniti Umri senantiasa mendoakan kesihatan Pak Sheikh. Semoga Cepat sembuh.

SALAM SELAMAT JALAN

Assalamualaikum .. Salam Hormat 

Ahli Jawatankuasa Surau Umri Serkam Tengah dengan ini mengucapkan selamat berangkat ketanah suci Makkah Al Mukarramah kepada seluruh bakal-bakal haji dan hajjah. Semoga dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna dan pulang dengan selamat serta memperoleh Haji yang mabrur 

Selasa, 19 Oktober 2010

Warisan Merdeka : Mercu Tanda Baru Kuala Lumpur

Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak."Kita berasa sungguh bangga kerana ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas.

Satu lagi mercu tanda yang akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd ialah Warisan Merdeka, yang dijadual siap pada 2020," katanya semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.Menara itu akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.Kos projek berjumlah RM5 bilion, dengan menara dijangka siap pada 2015.

- Bernama

Selasa, 10 Ogos 2010

SALAM RAMADHAN DARI KAMI


SALAM RAMADHAN DAN SELAMAT BERPUASA BUAT SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT 
DIMANA JUA ANDA BERADA 

MAJLIS BACAAN SURAH YASIN DAN TAHLIL ARWAH SEMPENA MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK

Pada hari Ahad 8hb Ogos 2010 yang lalu telah berlangsungnya majlis tahlil arwah sempena menyambut bulan Ramdhan Al-Mubarak 1431H yang diadakan di Surau Umri Kg Serkam Pantai.Majlis ini adalah merupakan majlis tahunan yang dianjurkan oleh Surau Umri . Ia lazimnya di adakan beberapa hari sebelum sampainya Ramadhan.

Selasa, 8 Jun 2010

HENTI KEANGKUHAN YAHUDI

Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia mengecam kekejaman dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau serta biadap tentera rejim Zionis Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kerana menyerang konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei tanpa alasan di perairan antarabangsa.

Perdana Menteri, berkata serangan tidak berperikemanusiaan itu melanggar norma perundangan antarabangsa dan tata kelakuan bertamadun kerana ketika serangan, kapal Mavi Marmara berada di kedudukan 65 kilometer dari pesisiran pantai Gaza.
Beliau berkata, tiada sebarang alasan untuk tentera Israel bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik.
"Jika perbuatan sama dilakukan negara lain, tentunya negara berkenaan akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ini membuktikan sikap berat sebelah Majlis Keselamatan PBB dalam melaksanakan amanah.

Malaysia juga mendesak Amerika Syarikat untuk tampil, tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam memastikan rejim itu mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang bertamadun kerana selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematu-han nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak akan ada kesudahannya," katanya ketika membentangkan usul mengutuk serangan tentera Israel, pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Perdana Menteri berkata, kezaliman rejim Zionis akan berterusan, malah Israel akan bersikap angkuh, ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan hingga rakyat Palestin terbelenggu jika masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam diri.

Beliau berkata, walaupun kecewa atas kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan keras terhadap rejim Zionis, Malaysia akan tetap berusaha keras memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang menderita sejak lebih 60 tahun lalu.
Perjuangan ini tidak akan tamat sehingga sebuah negara Palestin merdeka, berdaulat, kendiri ekonomi dapat dibangunkan. Saya juga menyuarakan komitmen serta pendirian Malaysia ini kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ketika lawatan beliau ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, selaras usaha membawa kes kekejaman tentera Israel ke mahkamah antarabangsa, Malaysia akan mendesak rejim Zionis membayar ganti rugi serta pampasan semua harta benda, makanan, alat binaan dan perubatan, termasuk kapal yang ditawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang dirampas secara haram.

Israel juga perlu membayar ganti rugi akibat kesan trauma psikologi, mental dan fizikal serta sebarang pampasan yang difikirkan layak oleh mahkamah antarabangsa," katanya.

Perdana Menteri juga menyatakan sokongan terha-dap penubuhan suruhan-
jaya penyiasatan antarabangsa yang bebas, adil dan berkecuali bagi menyiasat insiden itu, termasuk pemilihan bekas Perdana Menteri New Zealand, Sir Geoffrey Palmer mengetuai siasatan itu.

Najib juga berkata, beliau mendengar sendiri pengalaman 12 rakyat Malaysia yang terbabit dalam detik cemas serangan Israel apabila mereka turut didera secara mental ketika dalam tahanan

NGO SOKONG USUL KUTUK ISRAEL

Badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam, semalam sepakat menyatakan sokongan penuh terhadap usul yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengutuk serangan kejam tentera Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mereka berpendapat ini adalah masa yang sesuai untuk Malaysia menyatakan pendirian tegas dalam perkara itu ketika masyarakat dunia mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Zionis membunuh sembilan sukarelawan tanpa alasan munasabah di atas kapal Mavi Marmara yang tidak bersenjata.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Razak Idris, berharap usul itu akan menjadi asas yang mewakili pendirian seluruh rakyat Malaysia bahawa tindakan Israel tidak langsung mempedulikan tentangan masyarakat antarabangsa itu harus dibawa ke muka pengadilan.
Kita harap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat mewakili kuasa besar bertindak lebih tegas menyekat kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dengan menghentikan sebarang penja-jahan dan sekatan supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Gaza, katanya kepada Berita Harian.

Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin, berkata usul Malaysia supaya negara sependapat mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan PBB bagi merujuk kejadian itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan usul kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) harus dibe-ri perhatian badan dunia itu supaya mangsa terbabit mendapat keadilan sewajarnya.

Kita harap usul yang diluluskan ini bukan hanya di peringkat Malaysia tetapi juga dilaksanakan di peringkat antarabangsa, katanya.

Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Adnan Mohd Tahir juga berharap semua usul yang dikemukakan mendapat perhatian bukan hanya PBB tetapi juga negara kuasa besar.
Sementara itu, Presiden Persatuan Belia Buddhist Malaysia, Dr Ong See Yew berharap PBB akan meluluskan resolusi supaya satu jawatankuasa bebas ditubuhkan menyiasat kejadian serangan itu.

Selasa, 16 Mac 2010

HUKUM MAIN/JUAL PS / CHESS

Soalan: Apakah hukumnya bagi seseorang yang bekerja sebagai seorang pereka grafik/animasi untuk permainan komputer atau yang terlibat dalam pembikinan games itu sendiri?Apakah hukum bermainnya pula?Adakah pekerjaan tersebut dikira sebagai haram dilaksanakan kerana secara asasnya, permainan komputer kadang-kala melekakan pemainnya?Adakah pereka permainan tersebut menanggung dosa pemain tersebut sekiranya mereka bermain sehingga meninggalkan solat, sebagai contoh?

Jawapan: Bagi memberikan jawapan dalam hal ini, pertamanya kita perlu menentukan terlebih dahulu APAKAH HUKUM PERMAINAN/ GAMES' ITU SENDIRI?, hanya selepas itu kita mampu mengetahui hukum individu yang bekerja dalam pembikinannya.

Bagi mengetahui hukum sesebuah permainan, saya suka untuk merujuk kepada perbahasan ulama dalam bab hukum bermain catur. Benar, di zaman silam tiada play station 3, x-box, wii-games dan yang sepertinya, antara permainan yang ada serta mempunyai beberapa persamaan adalah catur . Justeru saya meyakini dengan memahami hukum catur, kita akan dapat menentukan sikap terhadap permainan moden yang disebut tadi, dari sudut asasnya.

Saya tidak ingin mengulas terlalu panjang lebar dan terlalu ilmiah sambil menyertakan perdebatan ulama berkisar hukum bermain catur, cukuplah saya menghidangkan ringkasan sahaja. Secara umumnya di dalam perbincangan hukum permainan catur, ilmuan Islam berbeza kepada tiga jenis pendapat :-

1)Harus : Namun Dengan Syarat
Antara yang paling diketengahkan dalam kumpulan ini dari kalangan ulama kontemporari adalah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi. Beliau juga menyandarkan pendapat HARUS ini kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Abbas, Abu Hurairah, dan tabi'en seperti Said al-Musayyab dan malah Imam al-Baihaqi ada meriwayatkan beberapa ulama terhebat tabien yang turut bermain catur seperti Said ibn Jubair, As-Sya'by dan lain-lain. Imam Al-Ghazzali juga turut tergolong dalam kelompok ini. ( As-Sunan al-kubra, al-bayhaqi, 10/211)

Justeru, Al-Qaradawi dalam fatwanya menyebut :

Menurut pendapat dan ilmu kami bahawa permainan catur itu menurut hukum asalnya adalah mubah(harus), sebab tidak ada dalil yang menunjukkan pengharaman catur, malah selain daripada ia dikira lahwun (lalai) dan hiburan, catur mempunyai nilai positif yang berperanan sebagai merupakan sukan minda dan melatih berfikir.

Antara syarat yang diletakkan oleh Al-Qaradawi :-

· Tidak menangguhkan waktu solat dan kewajiban lain disebabkan keasyikan permainan itu.

· Tidak disertai dengan judi dan pertaruhan.

· Hendaknya pemain dapat menjaga lisannya dari perkataan kotor seperti maki hamun kerana tewas dan sebagainya. ( Al-Halal wal Haram Fil Islam, hlm 273, cet Al-Maktab Al-Islami)

Melalui pendapat ini, jelas bahawa sebab-sebab pengharaman yang mungkin datang bukanlah kerana catur atau permainan itu sendiri, tetapi lebih kepada sebab-sebab luaran.

Oleh itu, jika berdasarkan pendapat ini, games moden turut diharuskan dengan syarat yang disebut oleh al-Qaradawi dan ditambah satu lagi menurut pendapat saya iaitu : mestilah intipati games yang direka cipta atau dbeli itu tidak bercanggah dengan Islam dan hukumnya. Iaitu konsepnya, ideanya, gambarnya dan lain-lain.

2) Haram : Yang melarang
Antara mereka adalah Ali bin Abi Talib r.a, Ibn Umar r.a, Ibn Abbas r.a, Mazhab Hanafi, Hanbali, dan Maliki. Demikian juga Ibn Taymiah dan kebanyakan ulama kontemporari Saudi, pandangan haram ini juga dinisbahkan kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Umar. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik turut termasuk dari mereka yang mengharamkannya. Demikian dinukilan oleh Imam Ibn Qudamah dan lain-lainnya. ( Mughni, 10/172)

Ulama kontemporari Saudi turut mengharamkannya malah mereka mengatakan semua syarat yang diletakkan oleh Qaradawi itu amat jarang dipenuhi oleh sang pemain.

Ibnu Taimiyah pernah berbicara panjang di dalam masalah ini, dari halaman 216 hingga halaman 245 jilid XXXII dari kitab Majmu Fatawa, antara kata beliau :

"Misalnya kita tetapkan bahwa permainan catur itu bebas dari itu semua -maksudnya tidak melalaikan kewajiban dan tidak akan melakukan hal yang haram- maka larangan perbuatan itu ditetapkan oleh para sahabat. Sebagaimana yang sohih dari Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘anhu, bahwa beliau pernah menjumpai kaum yang sedang bermain catur. Lalu beliau mengatakan

Ertinya : "Mengapa kamu menekuni patung ini? Sungguh jika salah satu diantara kamu menggengam bara api sampai padam itu lebih baik daripada memegang catur" ( Riwayat Al-Baihaqi, 10/212)

Kumpulan yang mengharamkan mengatakan penyamaan mainan catur dengan patung (berhala) yang dibuat oleh Ali itu jelas menunjukkan bahawa ia satu permainan yang haram.

Ibn Taimiah pula menisbahkan Imam Syafie sebagai berkata : "Permainan yang paling aku benci adalah an-nard, permainan catur dan permainan burung dara sekalipun tanpa perjudian. Sekalipun kebencian kami kepada permainan itu lebih ringan dari pada permainan dadu"

Namun demikian, apa yang jelas, tiada satu hadis yang sohih menyatakan pengharaman catur, hanya wujud adalah perdebatan berkenaan pandangan para sahabat sahaja. Cuma Imam Ibn Qudama cuba membawa dalil berikut sebagai hadis pengharamannya :-

Ertinya : Sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat (kepada hambanya) pada setiap hari sebanyak 360 kali pandangan, dan orang yang bermain catur ini tiada termasuk dari kalangannya ( Al-Mughni, 10/172)

Ibn Qudamah kemudiannya terus menghuraikan pemain catur sama seperti pemain an-nard kerana lalainya mereka semasa bermain dari ingatan terhadap Allah swt. Namun demikian, penyamaan ini (qiyas) ini ditolak oleh ulama Syafie kerana perbezaan konsep asas antara kedua permainan tadi.


3)Makruh (tidak begitu digalakkan)
Antaranya adalah Imam As-Syafie dan merupakan pandangan mazhab Syafie.Imam Syafie berkata ertinya : Apabila catur tidak besertanya pertaruhan dan kata-kata maki hamun, melupakan solat, maka ia TIDAK lah termasuk dari yang haram ( Tafsir Ibn Kathir, 6/40 )

Imam an-Nawawi menjelaskan pendirian mazhab Syafie dengan katanya :-

Ertinya : Adapun catur, dalam mazhab kami (Syafie) ia adalah makruh dan tidak jatuh haram, dan ia (keharusannya) juga diriwayatkan dari kumpulan tabien; namun menurut Imam Malik dan Ahmad, ia adalah haram dan Imam Malik berkata ia lebih buruk dari An-Nard ( sejenis permainan arab yang berasakan judi), serta melekakan diri dari kebaikan, justeru mereka menqiyaskan catur dengan an-nard, namun dalam ahli-ahli dalam mazhab kami (Syafie) tidak bersetuju dengan qiyas tersebut. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, hadis no 2260, jil 15, hlm 15)

Imam al-Ghazali pula memberikan perbezaan antara catur dengan an-nard dengan hujjahnya ia berbeza adalah kerana :

Catur adalah mainan latihan perangkaan strategi perang, ia lebih mirip kepada sukan memanah, berkuda dan berlumba ( dari sudut manfaatnya) ( Rujuk Al-Wasit, 7/353 )

Kesimpulan hukum main catur

Dari sudut dalil yang diberi serta banyak lagi yang tidak disertakan, saya berpandangan yang HARUS TETAPI MAKRUH JIKA BERLEBIHAN adalah lebih kukuh.

Tidak dinafikan bagi seseorang yang ulama atau ahli agama, pandangan YANG MENGHARAMKAN tentunya terpakai untuk dirinya. Bukankah status kedudukan para ulama itu menjadikan dirinya perlu lebih ketat dalam pengalaman berbanding orang awam. Sebagai kata-kata yang kerap kita dengari

"Kebaikan yang dilakukan oleh orang awam, masih dikira keburukan bagi seorang yang hampir dengan Allah swt"

Ertinya bagi seorang yang soleh, mengkahatamkan al-quran sebanyak satu kali pada bulan Ramadhan boleh dianggap satu kesalahan dan aib, berbanding orang awam yang dikira sebagai satu kejayaan besar. Jika piawaian ini diambil kira bolehlah kita katakan, pandangan ‘HARUS DENGAN SYARAT' atau ‘MAKRUH' lebih ringan untuk dihidangkan kepada orang awam khususnya : -

* Tiada dalil spesifik yang menyokong pengharaman,

* Hujjah yang mengatakan haram semuanya disebabkan wujudnya faktor luaran seperti lupa Allah SWT, judi dan sepertinya, maka jika tiada faktor-faktor ini bak kata Imam al-Ghazzali, semuanya kembali menjadi hukum mubah.

* Qiyas catur dengan an-Nard adalah tidak tepat sebagai pandangan mazhab Syafie kerana an-Nard sememangnya diasasi oleh perjudian berbanding catur yang amat boleh dimainkan tanpa pertaruhan.

Namun begitu, walaupun ia ‘harus dengan syarat' atau ‘makruh' sahaja, saya amat bersetuju dengan fatwa Imam al-Ghazzali yang lebih kurang sama dalam bab muzik. Gunakanlah ia secara terkawal dan tidak terlalu kerap kerana ia umpama ubat, yang tidak boleh terlalu kerap, kelak akan membawa mudarat.

Gunakan ia hanya untuk menghilang kebosanan sama seperti bergurau senda, ketawa, bersukan dan sebagainya. Tentunya penenang yang hakiki adalah pada membaca dan menghayati AL-Quran, zikir dan membaca, namun tidak semua manusia sama status iman mereka, tatkala itu amat relevan kata-kata Nabi kepada Hanzalah dan Abu Bakar r.a yang kerisauan kerana masih boleh berehat-rehat ketiak di rumah dengan isteri dan anak, sedang mereka begitu serius ketika mendengar kuliah Nabi s.a.w berkenaan akhirat dan lainnya :

Ertinya : Wahai Hanzalah ; satu waktu (zikir dan ibadah khusus serta serius) dan satu waktu lain pula ( rehat dan ringan) ( Riwayat Muslim)

Berkenaan hukum menjual catur di dalam mazhab Sayfie, disebabkan mazhab ini mengganggap catur sebagai makruh, hukum menjualnya juga turut makruh. (Al-Majmu', An-Nawawi, 9/243)

Jawapan kepada soalan

Jika demikian perbincangan kita, hukum bermain games PS1,2, dan 3 juga harus dengan makruh jika berlebihan, dan haram hanya apabila melanggar perkara asas yang telah disebutkan di tadi.

Tatkala itu, saya berpandangan, hukum terlibat sebagai programmer computer, grafik animator dan sepertinya bagi pembikinan sesebuah games adalah turut HARUS, namun ia bukankah satu kerja yang terbaik dan terpilih bagi individu yang mahu jelas hilang dari sebarang syubhat.

Unsur syubhat wujud khususnya kerana pencipta permainanan itu TIDAK MAMPU mengawal kekerapan, dan addicted sang pemain serta kelalaian mereka.

Asalnya penjual dan pencipta barang jualan yang bersifat neutral TIDAK menanggung sebarang tanggungjawab jika pembeli menggunakan barang neutral itu untuk tujuan jahat. Seperti penjual lap top computer, pisau, Television, printer dan sebagainya. Semua ini tergolong dalam kategori neutral yang mana pengguna akan menentukan sama ada ia digunakan kepad adosa atau pahala.

Namun berbeza dengan PENJUALAN GAMES; kerana amat diketahui, permainan itu diciptakan sememangnya untuk dimain, menghiburkan pembeli, malah lebih baik jika mampu dicipta kecanggihan sehingga boleh menjadikan pemain ketagih dengannya. Tatkala itu, pencipta games menanggung beban tanggungjawab kepada mainan ciptaannya, berbeza dengan barangan neutral yang saya sebutkan di atas.

Justeru, jika permainanan yang direka yang bersifat pendidikan ilmu fardhu kifayah seperti matematik atau permainan serampang dua mata, hiburan dan pendidikan atau lebih hebat dari itu ia membawa kepada kesedaran Islam. Tatkala itu ia menjadi sunat pula dan pahala yang diperolehi oleh penjual juga.

Hukum boleh berubah pula menjadi HARAM apabila kandungannya dan paparan terdapat hal yang bertentangan dengan Islam.

Sekian

Maratib A'mal dan Nama Allah

Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai maratib (ketertiban) amal, dan mungkin juga ada yang tidak pernah lansung mendengar mengenainya. Semoga yang tidak pernah mendengar, ini disebabkan oleh anda belum berpeluang mendengar, dan bukanlah kerana sindrom ''aku tidak pedulisme''

1. Individu Islam
2. Keluarga Islam
3. Masyarakat Islam
4. Kerajaan Islam
5. Negara Islam
6. Khilafah Islam
7. Kuasa dunia

Turutan maratib amal memperjelaskan kepada kita akan keutamaan di dalam melaksanakan amal. Sebelum itu, mari kita dengar sebuah kisah...

Ada orang....

Dia selalu membaca kisah-kisah pergolakan di seluruh dunia. Penindasan yang berlaku di Palestin dan selatan Thailand, begitu juga kekejaman di beberapa wilayah di China, dan peperangan yang berlaku di Darfur, Bosnia dan Ambon. Ini belum dicampurkan lagi dengan malapetaka yang melanda seperti ''the great Tsunami wave'' yang berlaku di Acheh dan gempa yang mengorbankan begitu banyak sekali nyawa di serata dunia.

Terlalu banyak pembacaan dan mengambil tahu hal ehwal serata dunia menyebabkan individu ini merasa tertekan dan marah kepada diri sendiri, lantaran kelemahan dan ketidak mampuan diri untuk membantu semua situasi yang disebutkan di atas.

Lantas penting untuk individu ini memahami perbezaan di antara ''sphere of concern'' dan ''sphere of influence'', untuk menjadikan kita lebih bijaksana dan berhikmah dalam tindakan dan amalan. Individu yang bijak akan mengenalpasti ruang lingkup sphere of influence nya terlebih dahulu daripada risau akan segala concern yang tidak mampu diselesaikan. Kita perlu menilai semua concern yang ada, dan berlepas daripada titik mula yang anda paling mampu mengubahnya. Dan 'ajaib'nya, anda paling berkuasa ke atas perubahan diri anda!!

Isu Kalimah Allah
Di kala isu pengunaan nama Allah sedang hebat diperbincangkan di tanah air pada saat penulisan ini dikarang, mari kita melihat beberapa perspektif positif yang menarik untuk direnungkan:

Yang menganjak paradigma

1. Ada persatuan pelajar di dalam dan luar negara yang amat sukar untuk menganjurkan program yang bercorak keagamaan dan yang ada 'Allah' disebut di dalamnya, dengan alasan, kita kena berlaku adil. Namun isu ini telah membawa paradigma baru. Siapa kata program yang ada 'Allah' disebut di dalamnya hanya untuk Muslim?

2. Lawatan tokoh agama seperti Tuan Guru Nik Aziz ke gereja dan bertemu serta memberikan sumbangan kepada paderi katholik mungkin telah menyebabkan golongan-golongan tertentu terlompat daripada kerusi mereka. ''Aik, sheikh berserban pun datang melawat gereja?'' Bukan salah mereka, maafkan mereka kerana mungkin mereka kurang mengerti kerana suasana sebegitu yang wujud dalam masyarakat kita di Malaysia. Rupanya Islam sangat rapat dengan geng Kristian.

Sebagaimana Allah berfirman di dalam surah 5, ayat 82;

And you will find that the closest people in friendship to the believers are those who say, "We are Christian." This is because they have priests and monks among them, and they are not arrogant

3. Aplikasi maratib amal.

i) Individu: Di situasi sebegini, kita boleh menilai kembali (post mortem atau muhasabah) sphere or influence kita. Sedang kita sibuk-sibuk mengatakan wajar atau tidak nama Allah digunakan oleh yang bukan Islam, di manakah sebenarnya letaknya Allah di dalam diri kita? Analoginya, ada orang yang suka beli buku, tapi tak baca. Kalau orang nak pinjam, dia kedekut, dan barulah terhegeh-hegeh nak baca dan berkata ''boleh aku baca dulu buku ni?''. Tapi akhirnya buku itu terbiar diselaputi habuk di rak buku. Contoh termudah yang boleh kita tanya kepada diri, awalkah solat lima waktu kita?

ii) Keluarga & masyarakat: Kepada para professional dan barisan pelajar yang bakal menjadi tenaga professional yang sewajarnya lebih matang dalam mengawal emosi, dan perlu menggunakan peluang ini untuk menerangkan kepada masyarakat yang terkadang-kadang gagal mengawal emosi. ''Banyakkan menerang, bukan menyerang', kata Tuan Guru Hadi Awang. Antara yang boleh anda lakukan ialah;

- Jika kaum keluarga anda antara yang 'mengamuk' dalam isu ini, telefon keluarga di tanah air dan katalah; ''Ala, rileks lah Pak Anjang Bote, kalau kita dok gaduh ni, Islam pun tak ajar''

- Tulis surat kepada sekolah rendah dan sekolah menengah anda dahulu, dan tujukan kepada para pelajar dan guru-guru akan kepentingan untuk ada prinsip Islam yang tegas namun penuh hormat dan toleransi kepada bukan Islam. Kata-kata anda pastinya ada pemberat yang tersendiri.

- jadikan kesempatan ini untuk dijadikan 'modal' bercerita kepada rakan-rakan yang bukan Islam yang INGIN TAHU berkenaan Islam. Kesian kat depa ni...

iii) Negara & pemerintahan: Perjelas dan jernihkan fikrah dan kefahaman kita. Ada hikmahnya kenapa Allah menjadi pelbagai situasi dan keadaan, untuk kita mengambil ibrah dan pelajaran. Apabila isu ini ditimbulkan, ada yang marah, namun sekian lama HUKUM ALLAH diabaikan, kenapa kita 'buat dek' dan seolah-olah tidak tahu menahu? (I don't give a damn!!)

Jangan kaku
Jangan pula kita mengatakan ''aku belum mampu'' dan mengecilkan sphere of influence kita. Analoginya, kita mesti basuh tangan sebelum makan, namun jangan pula kita basuh tangan sahaja dan tak makan-makan. Daripada sudut lain, boleh sahaja kita makan tanpa basuh tangan, namun itu tidak hygienik dan lama-kelamaan akan membawa kemudaratan. Justeru, hendaklah kita sedar proses basuh tangan dan kemudian makan adalah satu proses berterusan yang tak ada penghujungnya. Mari kita belajar daripada Nabi Allah Ibrahim a.s. yang 'mencari' tuhannya, dan kemudian terjun bertemu dengan masyarakatnya walaupun 'gagal' menyakinkan ayahnya sendiri untuk kembali kepada ajaran Islam.

Jangan jadi semut
Akhir kata, janganlah kita sebagai ummat Islam menjadi laksana kumpulan semut di sebuah busut. Apabila dilontarkan sesuatu yang menimpa, semuanya lari bertempiaran dan berlanggaran sesama sendiri dan hilang arah tuju. Apabila ummat Islam dilontarkan sesuatu isu, semuanya gelabah dan hilang daya rasional. Mari kita mainkan peranan dan influence yang ada di dalam diri masing-masing demi kesejahteraan seluruh dunia.

Rabu, 30 Disember 2009

SUKA NAU PAKAI GELANG

Ustaz Zainudin Hashim

Salam buat sahabat-sahabatku. .
Rasulullah larang pakai gelang tangan bagi kaum lelaki walaupun untuk tujuan perubatan

Antara perkara yang dilupakan oleh orang Islam hari ini bagi memperkasa jati dirinya ialah dengan memperdalami ilmu-ilmu fardu 'ain dan mengetahui perancangan musuh Islam yang setiap masa mencari jalan bagi menghancurkan pegangan dan hubungan mereka kepada Allah SWT.
Permusuhan mereka telah disebut oleh Allah dalam al-Quran, antaranya menerusi ayat 120 surah al-Baqarah maksudnya : "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kamu (sebagai orang Islam) hingga kamu mengikut agama mereka".
Menerusi ayat 82 surah al-Maidah pula, Allah menegaskan maksudnya : "Kamu akan dapati bahawa orang paling dahsyat menimpakan permusuhan ke atas orang-orang Islam adalah di kalangan Yahudi dan yang sekutu dengan mereka ".
Justeru, kejahilan dan kedangkalan untuk tidak memperdalami ilmu-ilmu agama boleh menyebabkan seseorang itu terikut-ikut dengan tindakan, penampilan, cara hidup orang-orang Kafir.
Musuh Islam merancang termasuk dalam bidang perubatan agar orang Islam juga terjebak untuk menerima cara yang diperkenalkan, sebagai contoh mereka mencipta alat bagi mengurangkan tekanan darah dan sebagainya dalam bentuk gelang tangan, bagi orang Islam yang tipis imannya akan menerimanya sebagai satu kaedah perubatan terkini, sedangkan banyak cara atau kaedah lain yang boleh berbuat demikian, tapi kerana memakai gelang itu adalah dilarang untuk dipakai oleh lelaki muslim, maka itulah cara terbaik diperkenalkan oleh musuh agar kaum muslim dilaknat oleh Allah, apabila dilaknat sudah tentu mereka tidak akan menjadi umat yang kuat untuk menghadapi kemaraan musuh mereka.

Larangan memakai gelang tangan walaupun untuk tujuan perubatan telah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya daripada 'Imran Bin Hussain r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan, Apakah bendanya ini? (iaitu yang dipakai oleh lelaki tersebut di pergelangan tangannya), beliau berkata : Ia adalah gelang perubatan, tegas baginda Rasulullah : Sesungguhnya benda itu (gelang tangan itu) tidak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) selama-lamanya. Hadis Sohih yang ke 19885 riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya.


Pakai gelang tangan menjadi trend dan budaya baru. Di Malaysia ia bermula pada zaman dahulu kala di mana gelang hitam diberikan sebagai hadiah kepada kaum keluarga terdekat dan sahabat-sahabat oleh orang yang baru balik Mekah. Aku pun dulu pernah pakainya masa kecil-kecil.

Sekarang ini pula ia dibenarkan oleh Tabung Haji kepada Jemaaah haji apabila berada di tanah suci kerana faktor mudah untuk dikenali kalau-kalau berlaku apa-apa kemalangan di sana atau sebarang kes hilang, maka mudahlah untuk dikenali. Ohh.. ini Jemaah Haji Malaysia, sebab ada gelang.
Yang peliknya Pak-pak Haji yang lelaki ni bila balik ke Malaysia tak mau cabut buang gelang itu. Dipakainya ke mana-mana termasuk ke surau masjid. Kalau orang tua tunjuk contoh begitu, bila orang muda pakai janganlah hentam orang muda sahaja.

Jenis - jenis gelang yang haram bagi lelaki:
1- Gelang Kayu Koka
2- Gelang Kristal
3- Gelang Tasbih
4- Gelang Getah plastik
5- Gelang Besi magnetik
6- Gelang Besi Tabung Haji (bila dah sampai Malaysia)
dan gelang-gelang lain yang bila dilihat orang, orang ramai kata ianya gelang, hatta budak kecil pun kata gelang.

Jenis-jenis gelang yang diharuskan :
1- Gelang pesakit semasa di hospital. Ia ditanda nama pesakit dan wad.
2- Gelang penjenayah/pesalah. Ianya dipakaikan oleh pihak polis bila tangkapan dibuat.
3- Gelang kaki bagi pesakit gila.

Sekiranya ada yang hendak pakai sangat, maka dia hendaklah berusaha jadikan dirinya salah satu daripada 3 golongan yg diharuskan di atas .

JUTAWAN CARA ISLAM

Mahmud Ibn Labid r.a. pernah berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, “Dua perkara yang tidak disenangi oleh anak Adam. Mati, padahal mati itu adalah lebih baik dari dugaan (kesesatan). Harta yang sedikit, padahal harta yang sedikit meringankan hisab. [1]

Namun sekiranya anda ingin juga menjadi seorang jutawan, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah An-Nuur ayat 37 hingga 38, “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

“(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.” Bermaksud, dengan mengingati Allah, mendirikan solat, memberi zakat dan sedekah, takutkan hari kiamat kerana akan diadili, seseorang itu akan mendapat limpah kurnia Allah dan pembalasan yang paling baik. Allah sesungguhnya satu-satunya sumber segala rezeki dan Dia akan menambahkan kurniaNya kepada hamba yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas.

Kajilah Al-Quran dengan sebenarnya-benarnya , kerana tips untuk menjadi jutawan banyak terdapat di dalam Al-Quran. Terjemahan Al-Quran bermodalkan RM20 di pasaran. Menurut Abu Said r.a., Allah berfirman di dalam sebuah hadith qudsi, “Sesiapa yang disibukkan oleh Al-Quran daripada berzikir dan meminta kepadaKu, maka Aku akan memberikan kepadanya sesuatu yang lebih utama daripada diberikan kepada orang yang meminta kepadaKu” [2]

Sekiranya anda bukan berniat untuk menjadi jutawan, tetapi sekadar ingin hidup sederhana, beribadat kepada Allah. Serta dalam masa yang sama tidak mahu mempunyai bebanan hutang dan dikurniakan kecukupan dalam semua perkara, amalkan membaca Surah Al-Waqiah setiap malam. Menurut Ibnu Mas’ud, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya.”[3]

Sekiranya anda sekarang berada di dalam keadaan terdesak, ditimpa kesusahan, memerlukan “fast-cash” untuk sesuatu perkara mustahak, maka ikutlah petua Rasulullah s.a.w. Di dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh Huzaifah r.a., apabila Rasulullah s.a.w mengalami kesulitan, beliau akan segera mengerjakan solat.[4] Solat yang dimaksudkan adalah solat sunat. Ini adalah selaras dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 45, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Di dalam riwayat lain diceritakan oleh Abdullah bin Salam r.a., ketika keluarga Rasulullah menghadapi sebarang kesempitan rezeki, beliau akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membaca ayat 132 surah Taha.[5]Firman Allah di dalam ayat berkenaan, “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Kebanyakkan yang mengamalkan tip ini mendapat kemurahan rezeki yang luas dan “low profile”. Mereka tidak terburu-buru dan tergesa-gesa dalam mengejar kesenangan. Kebanyakkan mereka akhirnya menjadi komited dalam beribadat atau melakukan aktiviti dakwah. Mereka hanya melakukan sedikit pekerjaan dunia, namun kurnia yang diperolehi melebihi apa yang mereka kerjakan.

Wallahu’alam.

[1] Jami-ul-Saghir (Terjemahan H. Nadjih Ahjad),Imam Suyuthi, PT Bina Ilmu, Jakarta, 2003; Riwayat Ahmad, hadith #166.
[2] Muntakhab Ahadits (terjemahan Muhammad Qasim at Timori), Maulana Muhammad Yussuf Al-Khandalawi, Pustaka Ramadhan, Bandung, Indonesia, 2004; Riwayat Tirmizi, ms327
[3] Jami-ul-Saghir, op. cit.; Riwayat Baihaqi, hadith #8942, menurut Imam Suyuthi berstatus daif.
[4] Muntakhab Ahadits, op. cit.; ms 244
[5] Ibid.

Berdosa Jual Beli Selepas Azan Jumaat

Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.

Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9' dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti di kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.

Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

'Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.'

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun telah ijma' di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.

Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)

Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut. Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut 'para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua' ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :

Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.

Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:


a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai

Sumber : www.zaharuddin.net

CERAMAH MA'AL HIJRAH 1431DI SURAU UMRI

Assalamualaikum .. salam hormat 
Dijemput semua untuk menghadiri majlis sambutan ma'al hijrah 1431 H di surau umri , kampung serkam pada 10 Januari 2010 selepas solat maghrib. Penceramah jemputan pada majlis tersebut ialah Pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Yang berbahagia Datuk Ismail Kamus.Marilah sama-sama kita meriahkan dan raikan majlis ilmu yang diadakan

Rabu, 25 November 2009

RADAR AJAIB


Pernahkah anda rasa berdebar-debar, gelisah, tidak tenteram, tidak sedap hati dan sebagainya?
Semua fenomena itu sebenarnya adalah isyarat yang dipancarkan oleh hati seseorang bahawa ada sesuatu yang menjadi ancaman kepada diri manusia dan ianya dapat dikesan oleh hati.

Sabda Rasullulah s.a.w: 'Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan adalah hati.'

Hati adalah ibarat raja bagi tubuh badan manusia. Di sinilah tersimpan tenaga yang hebat seperti pemikiran dan tenaga emosi. Jika hati seseorang itu diisi dengan sifat mahmudah(baik) maka hebatlah seluruh anggota badannya dan akan melahirkan seseorang yang berakhlak mulia. Jika hati telah dikotori dengan sifat mazmumah(keji) maka rosaklah peribadi dan akhlak seseorang itu.

Hati adalah radar yang hebat untuk mengesan perbuatan manusia, sama ada mengesan perkara yang baik atau buruk. Apabila kita melakukan perbuatan yang berdosa, kita akan mudah untuk rasa berdebar-debar dan cemas.Seterusnya ia akan menyebabkan kita rasa gelisah dan tertekan.

Isyarat ini sebenarnya bertujuan untuk menyuruh supaya seseorang untuk kembali pada Allah. Apabila kita memohon keampunan dan bertaubat maka hati kita akan kembali tenang.Hati yang berpenyakit dari segi batin perlu dirawat seberapa segera kerana ianya bukan sahaja memberikan kemudaratan pada ketenteraman jiwa malah boleh menyebabkan penyakit pada anggota badan.

Bagaimana hati mendapat tenaga dan kekuatan?

Makanan hati adalah taqwa kepada Allah.Zikir, membaca Al-Quran, menuntut ilmu agama, memberi zakat, bersedekah dan berbaik sangka adalah makanan hati yang enak dan lazat. Jika hati tidak diberi makan, maka seseorang itu akan menghidap penyakit batin dan zahir.Dengan cara memberikan makanan pada hati,barulah seseorang berhak untuk memperolehi kebahagiaan.

Apakah cara untuk merawat hati yang berpenyakit dan menghidupkan hati yang mati?

Caranya ialah dengan bertaubat.Meminta keampunan, mengingati kematian dan sentiasa melakukan amal kebajikan.Ini akan memulihkan dan menghidupkan semula hati.

Hanya dengan mengingati Allah seperti dalam firman Allah;

'(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.' (Ar-Ra'd :28)

Apabila hati kita mendustakan ayat-ayat Allah maka termasuklah kita dalam kategori hati yang berpenyakit sepertimana firmanNya;

'Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.' (Al-Baqarah:10)

Oleh itu,apabila hati kita mengesan sesuatu yang tidak menyenangkan maka marilah kita segera kembali kepada Allah sebelum hati kita menjadi keras.Ingatlah pesananNya yang bermaksud:

'Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.'(Al-Hadid:16)




Khamis, 1 Oktober 2009

Sembang Feqh : Bolehkah gunakan air yang dikitar semula ??

1. Air adalah keperluan asasi yang sangat penting bagi kehidupan manusia. Pelbagai usaha juga sedang dijalankan bagi mencari alternatif sumber air semulajadi. Antaranya adalah dengan mengitar semula air terpakai melalui proses penyulingan.


2. Mungkin timbul pertanyaan dan persoalan dari sesetengah masyarakat Islam mengenai kesucian air sulingan ini.
3. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) air sulingan ini terjamin bersih dan selamat diminum.


4. Isu sulingan air ini telah pun dibincangkan oleh Ulama masakini termasuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura. Untuk pengetahuan, secara dasarnya isu ini bukan merupakan perkara baru dari sudut Fiqh Islam.


5. Dari segi Fiqh, air terpakai hari ini boleh dikategorikan kepada air Musta’mal (sudah digunakan) atau air mutanajjis (bernajis). Air Musta’mal membawa sifat suci tetapi tidak menyucikan. Manakala air mutanajjis tidak membawa sifat suci dan menyucikan. Untuk menjadikan air mutanajjis suci lagi menyucikan, maka proses perubahan “التغير” (At-taghayyur) dipakai guna oleh Ulama bagi menghilangkan najis dan mengekalkan semula sifat asal air yang suci lagi menyucikan. Proses perubahan ini dapat dilakukan dengan tiga cara:
i. Perubahan dengan secara sendiri (semulajadi) iaitu dengan perubahan zaman, matahari atau tiupan angin.
ii. Perubahan dengan ditambah air ke atasnya.
iii. Perubahan dengan dikeluarkan najis tersebut daripada air.


6. Perubahan-perubahan tersebut akan mengembalikan ciri-ciri kesucian sekiranya baki air setelah melalui proses perubahan tersebut adalah dua kolah (lebih kurang 270 liter) atau lebih. Seperti air mutanajjis (bernajis) yang boleh disucikan dengan cara-cara di atas, proses yang sama juga boleh mengembalikan ciri-ciri kesucian air musta’mal.


7. Dengan menjangkakan keperihatinan masyarakat Islam terhadap isu ini, maka pertanyaan serupa mengenai proses pensulingan air ini diajukan kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura yang telah memfatwakan pada 22 Mei 2001 bahawa air yang telah diproses secara pensulingan dikira air suci lagi menyucikan. Hal ini telah dijelaskan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Majmuk jilid 1 muka surat 132 dalam mensyarahkan kitab Al-Muhazzab oleh Imam As-Syirazi.
Ertinya :
“ Jika hendak dibersihkan air yang najis hendaklah dilihat (keadaannya), sekiranya kenajisan air tersebut kerana berlakunya perubahan (warna, bau atau rasa) dan ianya melebihi dua kolah, maka ianya dikira suci disebabkan perubahan itu hilang dengan sendirinya atau disebabkan dengan ditambah air kepadanya atau diambil sebahagiannya, kerana kenajisan itu disebabkan perubahan (warna, bau atau rasa), sedangkan perubahan pula berlakunya tersebut sudah tiada”


8. Oleh itu, rancangan Pemerintah di mana air yang telah diproses itu akan dicampurkan terlebih dahulu di dalam kolam air sebelum kegunaan awam adalah bertetapan dengan hukum Fiqh. Dan air yang akan digunakan itu adalah suci.

Sembang Feqh : Bolehkah Berubat Menggunakan Arak

Para imam daripada empat Mazhab berpendapat adalah haram menggunakan arak atau sebarang bahan yang memabukkan bagi tujuan perubatan dan tujuan lain. Contohnya menggunakannya dalam minyak, atau campuran makanan, ataupun bagi melarutkan ubatan juga untuk membasahkan tanah liat. Pendapat ini berpegang kepada sabda Nabi saw.:

Terjemahan:

Allah S.W.T. tidak menjadikan kesembuhan kamu melalui benda yang telah diharamkan ke atas kamu.

Tariq bin Suwayd pula meriwayatkan, bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang arak, maka Baginda telah melarangnya ataupun membencikannya daripada membuatnya. Lalu Suwayd berkata,

"Saya hanya membuatnya untuk dijadikan ubat,"

maka jawab Baginda,

"Ia bukannya ubat, tetapi ia adalah penyakit.

Walau bagaimanapun para Ulamak Hanafi berpendapat, adalah harus untuk menggunakan benda yang haram sebagai ubat dengan syarat bila ia benda-benda diyakini boleh menyembuhkan penyakit berkenaan, di samping tidak ada lagi bahan lain yang boleh menggantikannya.

Jika hanya berdasarkan kemungkinan yang diagakkan sahaja (zan) maka ia tidak boleh digunakan. Kata-kata bomoh semata-mata tidak boleh memberikan keyakinan ini. Kelonggaran tidak diberikan untuk menggunakan daging babi sebagai ubat, walaupun tidak ada yang lain.

Ulamak Syafi'i pula mengaitkan pengharaman menggunakan arak sebagai ubat ini jika hanya menggunakannya semata-mata, tanpa dibancuh dan dicampurkan dengan sesuatu benda yang lain yang boleh menghapuskan kewujudan arak itu.

Adapun penggunaannya sebagai bahan yang dibancuh untuk menguli bahan lain, sehingga arak itu terlarut dalam bancuhan itu, maka penggunaannya secara hukumnya adalah harus, dengan syarat tidak ada bahan lain yang suci dapat menggantikannya. Kedudukannya adalah sama dengan perubatan yang menggunakan benda najis seperti daging ular dan air kencing.

la juga harus digunakan bagi tujuan untuk supaya lebih cepat sembuh dengan syarat dia diberitahu oleh seorang doktor Islam yang adil, ataupun berdasarkan pengetahuan atau pengalamannya tentang perkara itu, dengan syarat ia juga digunakan dalam kadar yang sedikit dan tidak sampai memabukkan.

Al-Izz bin Abd al-Salam menyatakan, berubat menggunakan benda haram adalah harus dengan syarat tidak ada lagi bahan-bahan halal yang boleh menggantikannya. Alasannya kepentingan kesihatan dan keselamatan adalah lebih utama daripada kepentingan untuk mengelakkan diri daripada perkara najis.

Bagaimanapun mengikut pendapat yang asah tidak harus menggunakan arak sebagai ubat kecuali diyakini betul bahawa ia boleh menyembuhkan penyakit dan tidak ada ubat yang lain menepatinya.

Ibn al-Arabi dan al-Qurtubi daripada kalangan Ulamak Maliki pula menjelaskan harus menggunakan arak atas dasar darurat. Ia bersandarkan firman Allah S.W.T.:

Terjemahan: .

Barang siapa yang menghadapi keadaan darurat dan yang mendesak sedang ia tidak melampau dan tidak melebhi had maka tidak berdosa... Sarah al-Baqarah 2:173

Dalam ayat ini Allah S.W.T. telah mengetepikan dosa dan mengkhususkan dosa dengan sebab darurat. Selain itu, kecuaian untuk menggunakan ubat kadang-kadang boleh menyebabkan kematian.

Sabtu, 12 September 2009

MEMBURU LAILATUL QADAR

Hari ini masuk hari ke-19 kita berpuasa, bermakna kita sudah pun berada di ambang 10 malam terakhir Ramadhan. Moga kita cukup kuat dan bersedia untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan ini.

Secara ringkas ingin saya kongsikan beberapa maklumat tentang malam Lailatul Qadr:

1. Ibnu Hajar, ulama yang mentafsirkan Sahih Bukhari berkata bahawa terdapat 39 pendapat ulama berkenaan bilakah malam Lailatul Qadr.

2. Pendapat yang paling kuat adalah ia jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadhan berdasarkan kepada beberapa hadis di antaranya: “… carilah ia pada 10 yang terakhir dari bulan Ramadhan.”

3. 10 malam terakhir bulan Ramadhan tidak semestinya bermula pada malam ke 21. Sebaliknya 10 malam terakhir itu dikira dari belakang. Jika tahun ini Ramadhan hanya 29 hari, 10 malam terakhir bermula dari malam ke 20 Ramadhan.

4. Tidak ada tanda bahawa malam itu adalah malam Lailatul Qadr. Pendapat yang mengatakan bahawa cuaca akan dingin, suasana akan tenang, malam tidak berbintang dan sebagainya adalah pendapat yang tidak berasas sama sekali.

5. Berkenaan ianya akan jatuh pada malam-malam ganjil, ganjil itu juga dikira dari belakang berdasarkan kepada beberapa hadis seperti “...tujuh yang baki", "...tiga yang baki” dan sebagainya. Dengan itu perlu dilakukan ibadah mengejar Lailatul Qadr juga pada malam-malam 20, 22, 24, 26, 28 dan 30.

6. Ibadah yang perlu ditumpukan pada 10 malam yang terakhir adalah solat malam, tilawah al-Quran dan iktikaf.

7. Perlukah solat malam mengikut tertib seperti yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia; solat taubat, solat tasbih dan solat hajat? Jawapannya tidak perlu. Sebaliknya boleh dilakukan dalam apa bentuk yang kita selesa.

8. Adakah solat tasbih perlu dilakukan pada setiap 10 malam terakhir itu? Solat tasbih adalah solat yang menjadi khilaf ulama. Ibnu Taimiyyah berpendapat hadis berkenaan solat tasbih adalah hadis palsu. Dr. Yusof Qardhawi berpendapat hadis tersebut adalah dhaif dan beliau tidak menggalakkan orang ramai untuk melakukannya walau pun beliau tidak menolak bahawa ia harus dilakukan.

9. Jika seseorang itu tidak menghafal al-Quran dan ingin melakukan solat dengan bacaan al-Quran yang panjang, beliau boleh memegang al-Quran sambil solat dengan syarat jangan melakukan pergerakan yang banyak selain dari memegang al-Quran tersebut.

10. Jika beliau letih, beliau boleh solat duduk (samada duduk seperti tahiyat atau duduk di atas kerusi). Solat sunat boleh dilakukan dengan cara duduk.

11. Iktikaf di waktu malam kemudian ke tempat kerja selepas Subuh, dan kemudian pulang semula ke masjid untuk beriktikaf; ketika berada di tempat kerja, sebahagian ulama berpendapat bahawa beliau masih lagi di dalam keadaan iktikaf dan masih mendapat pahala iktikaf.

12. Ibadah-ibadah lain seperti sedekah juga akan digandakan pahalanya di malam Lailatul Qadr.

13. Urusan-urusan dakwah lain seperti mendamaikan antara dua yang bermusuhan dan sebagainya juga akan digandakan pahalanya pada malam Lailatul Qadr. Tetapi harus diatur agar urusan-urusan seumpama itu memberikan ruang juga untuk ibadah-ibadah khusus.

14. Urusan-urusan sambutan Raya seperti membeli baju dan lain-lain seharusnya dilakukan awal sebelum 10 malam terakhir itu agar kita dapat memberikan tumpuan kepada 10 malam terakhir.

IKTIBAR KEMENANGAN BADAR ALKUBRA

Tanggal 17 Ramadan 624M, Allah swt telah mengatur kemenangan umat Islam Generasi Pertama mengalahkan tentera kafir di Pekan Badar, yang terletak kira-kira 150 km dari Kota Madinah. Ia bukan sahaja merupakan salah satu kisah perjuangan Rasulullah saw, malah ia adalah satu noktah peralihan yang penting dalam sejarah perjuangan Islam dan para Anbiyak ra sepanjang zaman. Ia adalah juga tanda jalan dan pengajaran yang penting kepada para Duat sepanjang zaman sehingga ke Hari Kebangkitan.

Setelah umat Islam terpaksa berhijrah kerana agama, meninggalkan kampung halaman turun temurun, sanak saudara serta harta benda mereka di Mekah, Rasulullah saw tidak membiarkan kerugian ini berlarutan tanpa pembelaan untuk umat Islam dan pengajaran kepada kaum yang zalim. Sebaik mendengar rombongan dagang Abu Sufian bergerak dari Mekah menuju ke Syam di mana sudah pasti rombongan tersebut akan melalui Madinah yang berada di tengah-tengah perjalanan, Rasulullah saw merancang untuk merampas harta dagangan tersebut. Di Mekah dahulu, umat Islam diminta bersabar oleh Allah swt dalam menanggung derita, melalui ayat Al-Quran, “Wahai orang-orang beriman, tahanlah tangan-tangan kamu (jangan bertindak terhadap orang-orang yang menyiksa kamu), dan dirikanlah solat” (Al-Quran). Solat sahaja adalah tindakbalas yang boleh mereka lakukan apabila disakiti atau dianiaya oleh Quraisy.

Setelah Hijrah, turunlah ayat “Diizinkan (berperang) kepada yang diperangi kerana mereka dizalimi. Dan sesungguhnya Allah berkuasa memenangkan mereka. (Iaitu) orang-orang yang dihalau dari rumah-rumah mereka (di Mekah dll.) tanpa (alasan yang) hak, melainkan mereka berkata ‘Tuhan kami adalah Allah” (Al-Quran). Umat Islam Muhajirin dizalimi dan kini Allah izinkan perang. Rombongan dagang Abu Sufian seramai 40 orang meluncur laju, berjaya melepasi Madinah dan tiba ke Syam. Rasulullah saw menunggu mereka pulang melalui Madinah, jaraknya 400 km sebelum tiba ke Mekah di selatan.

Apabila menghampiri Madinah, Abu Sufian dapat merasai bahaya yang menunggu, sedang beliau diiringi oleh hanya 40 orang pedagang, bukan pejuang. Dia meramas tahi-tahi unta yang berdekatan. Ia berisi biji-biji kurma. Pasti ia unta dari tentera perisikan Muhammad saw kerana unta-unta Madinah, sebuah bandar pertanian kurma, memakan buah kurma, sedang unta-unta kabilah lain memakan rumput kering. Abu Sufian menghubungi pimpinan Quraisy di Mekah. Mekah menghantar 1000 tentera. Harapan 313 orang Islam untuk melawan 40 pedagang bersama Abu Sufian meleset. Tidak semua orang Islam membawa senjata kerana beranggapan mereka hanya akan melawan 40 orang pedagang. Bilangan mereka turut serta mencapai 313 orang kerana untuk memikul pulang ke Madinah harta rampasan dagangan, bukan untuk berperang, tetapi Allah mengatur dan mahukan mereka melawan 1000 tentera yang lengkap bersenjata untuk berperang. Demikian aturan Allah pada kali ini, lain dari kecenderungan dan harapan hamba-hambaNya di Madinah.

Orang-orang Ansar Madinah pernah memeteraikan Baiah Aqabah II untuk mempertahankan Rasulullah saw di Madinah, sedang pekan Badar berada di luar Madinah. Apabila rombongan dagang Abu Sufian berjaya bolos dan aman menuju ke Mekah, rombongan Islam seramai 313 orang tiada pilihan melainkan bertembung dengan 1000 tentera lengkap Quraisy di Badar. Jika orang-orang Ansar memilih untuk tidak menyertai perang tersebut kerana tidak termasuk dalam perjanjian, maka orang-orang Muhajirin sahaja yang akan berperang melawan tentera Quraisy, sedang bilangan mereka tidak sampai 90 orang. Bilangan Ansar ialah kira-kira 220 orang. Rasulullah saw tanya Abu Bakar As-Siddiq. Abu Bakar ra memilih untuk lawan dengan katanya, “Ajal“, bermaksud, “Ya (kita lawan)”. Umar Al-Khattab ra juga berkata, “Ajal“.

Orang-orang Ansar asalnya diam sahaja sehingga Rasulullah saw meminta pandangan secara umum, “Asyiruni ayyuhannas (berilah pandangan kamu wahai orang ramai)”. Saad bin Muaz ra berkata, “Tuan seperti hendak pandangan kami ya Rasulullah!!”. Mereka senyap kerana mereka ikut sahaja apa keputusan yang diambil oleh Rasulullah saw, bukan Badar tidak termasuk dalam Baiah Aqabah II. “Pergilah ke mana sahaja yang engkau mahu, kami akan bersamamu. Kami tidak akan berkata seperti kaum Musa as berkata kepada Musa (untuk memasuki Palestin), ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami hendak lepak di sini’, tetapi kami (orang-orang Ansar) berkata, ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami bersama kamu berperang!!!”. (Apabila Saad syahid selepas cedera di Perang Khandaq, Nabi saw menyatakan bahawa arasy Allah bergegar dengan kematian Saad). Mereka adalah sebaik-baik umat yang telah dikumpulkan oleh Rasulullah saw sejak 15 tahun yang lalu, sebaik turun dari Gua Hirak.

“Ya Allah!!! Jika (kalah dan) musnah kumpulan ini pada hari ini (Perang Badar), Engkau tidak akan disembah selama-lamanya. Ya Allah!!! Berikanlah kemenangan (pada hari ini) yang telah Engkau janjikan kepada aku”, begitu munajat dan doa Rasulullah saw sehingga jatuh kain selendang dari atas bahunyanya. Kebanyakan tentera Islam tidak bersenjata dan terpaksa menggunakan pelepah-pelepah tamar untuk melawan Quraisy yang berpedang. Kuda hanya 2 ekor yang ditunggang oleh Zubair bin Awwam dan Miqdad Al-Aswad berdepan dengan puluhan kuda Quraisy.

Perang meletus diakhiri dengan kemenangan di pihak Islam yang serba kekurangan di segi kelengkapan tetapi tinggi di segi keimanan dan keperwiraan. Allah swt mendatangkan hujan dan ngantuk sebagai keamanan bagi jiwa tentera Islam. Allah swt menurunkan Malaikat. Belum sempat pelepah tamar memukul mengena leher musuh, leher tersebut terpenggal dek pukulan Malaikat. “Penggallah di atas leher. Penggallah dari mereka semua ubun-ubun (atas kepala)” (Surah Al-Anfaal).

Ghazwah Badar Al-Kubra meninggalkan berbagai pengajaran untuk kita para Duat dan umat Islam hari ini. Di antaranya ialah:

Pertama: Perang atau Jihad, sepertimana ia terdapat di dalam Seerah dan terbentang di dalam Al-Quran akan kewajipannya, ia adalah satu kefardhuan bagi umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Ia adalah suatu yang realiti. Persediaan ke arahnya adalah mesti. Tuntutan terhadapnya demi kemenangan Islam adalah pasti.

Kedua: Di dalam hidup ini, bahkan di dalam perjuangan Islam, kadangkala kita menghendaki sesuatu tetapi Allah menghendaki yang lain pula, dengan hikmah yang tertentu yang hanya diketahui olehNya. Allah swt yang memiliki Dakwah ini, Dia lebih tahu jalannya. Para Sahabat ra berharap dapat lawan 40 pedagang, tetapi Allah hendak mereka melawan dan mengalahkan 1000 tentera lengkap untuk berperang. Kita dituntut beriman, membuat persiapan sedaya mungkin, beramal semaksimanya, dan menyerah hasil amalan kita kepada Allah swt.

Ketiga: Bilangan dan kelengkapan bukan semestinya membawa kepada kemenangan dalam perjuangan. Hakikatnya, keimanan dan pertolongan Allah itu lah yang menentukan kejayaan. Oleh itu asas penting dalam Dakwah ialah Tarbiyah ke arah menghasilkan para Duat dan masyarakat yang Rabbani, bukan sekadar meramaikan bilangan pengikut dan licik mengatur strategi menentang lawan. Oleh itu Jemaah Islam adalah kumpulan manusia yang berhimpun di atas asas Tarbiyah. Tanpanya perkumpulan itu adalah seperti kelab, persatuan, parti, NGO, pertubuhan yang tidak banyak bezanya dari perkumpulan-perkumpulan yang telah sedia ada di mana-mana.

Semoga setiap detik peristiwa sepanjang Perang Badar Al-Kubra tersemat di dalam hati dan fikiran pemuda pemudi dan umat Islam seluruhnya, terutama dalam menghadapi serangan dan penjajahan Barat terhadap mereka yang saban hari semakin memuncak di zaman ini. “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berperang, walaupun perang itu tidak kamu sukai. Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, sedang ia baik untuk kamu. Mungkin kamu suka sesuatu, sedang ia tidak baik untuk kamu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Quran).

SEMPENA RAMADHAN 1430H

Sempena Ramadhan Al-Mubarak 1430H pihak Jawatankuasa Surau UmRI Kg Serkam Tengah mengalu-alukan sumbangan wang untuk perkara berikut:

1. Tahlil arwah untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia yang akan di tahlil kan pada bulan Ramadhan.

2. Sumbangan khas untuk anak yatim dan fakir miskin kg Serkam sempena Ramadhan dan Syawal 1430H.

Semua sumbangan boleh dihantar melalui :

1. No.akaun Maybank diatas nama 'LEMBAGA SURAU UMRI' NO. 104058047579- Tel Cikgu Mohammad Hasan No. 013-3752854 maklumkan nama arwah dan pengesahan wang talah dimasukkan didalam akaun.

2. Melalui Sdra Hj Abdullah Hj Md Nor (Cheras K.Lumpur.) No. tel :019-2349527.

Selasa, 28 Julai 2009

MAJLIS TAHLIL ARWAH SEMPENA MENYAMBUT

RAMADHAN AL MUBARAK 1430H

ANJURAN SURAU UMRI

Semua ahli qariah kampong Serkam yang ada kelapangan sila lah

datang ke surau UMRI untuk majlis berkenaan seperti ketetapan berikut:


 

TARIKH : 16HB OGOG 2009 (AHAD)

MASA : Lepas Solat Zuhor

Jamuan tengahari akan disediakan.