Followers

Sabtu, 12 September 2009

MEMBURU LAILATUL QADAR

Hari ini masuk hari ke-19 kita berpuasa, bermakna kita sudah pun berada di ambang 10 malam terakhir Ramadhan. Moga kita cukup kuat dan bersedia untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan ini.

Secara ringkas ingin saya kongsikan beberapa maklumat tentang malam Lailatul Qadr:

1. Ibnu Hajar, ulama yang mentafsirkan Sahih Bukhari berkata bahawa terdapat 39 pendapat ulama berkenaan bilakah malam Lailatul Qadr.

2. Pendapat yang paling kuat adalah ia jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadhan berdasarkan kepada beberapa hadis di antaranya: “… carilah ia pada 10 yang terakhir dari bulan Ramadhan.”

3. 10 malam terakhir bulan Ramadhan tidak semestinya bermula pada malam ke 21. Sebaliknya 10 malam terakhir itu dikira dari belakang. Jika tahun ini Ramadhan hanya 29 hari, 10 malam terakhir bermula dari malam ke 20 Ramadhan.

4. Tidak ada tanda bahawa malam itu adalah malam Lailatul Qadr. Pendapat yang mengatakan bahawa cuaca akan dingin, suasana akan tenang, malam tidak berbintang dan sebagainya adalah pendapat yang tidak berasas sama sekali.

5. Berkenaan ianya akan jatuh pada malam-malam ganjil, ganjil itu juga dikira dari belakang berdasarkan kepada beberapa hadis seperti “...tujuh yang baki", "...tiga yang baki” dan sebagainya. Dengan itu perlu dilakukan ibadah mengejar Lailatul Qadr juga pada malam-malam 20, 22, 24, 26, 28 dan 30.

6. Ibadah yang perlu ditumpukan pada 10 malam yang terakhir adalah solat malam, tilawah al-Quran dan iktikaf.

7. Perlukah solat malam mengikut tertib seperti yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia; solat taubat, solat tasbih dan solat hajat? Jawapannya tidak perlu. Sebaliknya boleh dilakukan dalam apa bentuk yang kita selesa.

8. Adakah solat tasbih perlu dilakukan pada setiap 10 malam terakhir itu? Solat tasbih adalah solat yang menjadi khilaf ulama. Ibnu Taimiyyah berpendapat hadis berkenaan solat tasbih adalah hadis palsu. Dr. Yusof Qardhawi berpendapat hadis tersebut adalah dhaif dan beliau tidak menggalakkan orang ramai untuk melakukannya walau pun beliau tidak menolak bahawa ia harus dilakukan.

9. Jika seseorang itu tidak menghafal al-Quran dan ingin melakukan solat dengan bacaan al-Quran yang panjang, beliau boleh memegang al-Quran sambil solat dengan syarat jangan melakukan pergerakan yang banyak selain dari memegang al-Quran tersebut.

10. Jika beliau letih, beliau boleh solat duduk (samada duduk seperti tahiyat atau duduk di atas kerusi). Solat sunat boleh dilakukan dengan cara duduk.

11. Iktikaf di waktu malam kemudian ke tempat kerja selepas Subuh, dan kemudian pulang semula ke masjid untuk beriktikaf; ketika berada di tempat kerja, sebahagian ulama berpendapat bahawa beliau masih lagi di dalam keadaan iktikaf dan masih mendapat pahala iktikaf.

12. Ibadah-ibadah lain seperti sedekah juga akan digandakan pahalanya di malam Lailatul Qadr.

13. Urusan-urusan dakwah lain seperti mendamaikan antara dua yang bermusuhan dan sebagainya juga akan digandakan pahalanya pada malam Lailatul Qadr. Tetapi harus diatur agar urusan-urusan seumpama itu memberikan ruang juga untuk ibadah-ibadah khusus.

14. Urusan-urusan sambutan Raya seperti membeli baju dan lain-lain seharusnya dilakukan awal sebelum 10 malam terakhir itu agar kita dapat memberikan tumpuan kepada 10 malam terakhir.

IKTIBAR KEMENANGAN BADAR ALKUBRA

Tanggal 17 Ramadan 624M, Allah swt telah mengatur kemenangan umat Islam Generasi Pertama mengalahkan tentera kafir di Pekan Badar, yang terletak kira-kira 150 km dari Kota Madinah. Ia bukan sahaja merupakan salah satu kisah perjuangan Rasulullah saw, malah ia adalah satu noktah peralihan yang penting dalam sejarah perjuangan Islam dan para Anbiyak ra sepanjang zaman. Ia adalah juga tanda jalan dan pengajaran yang penting kepada para Duat sepanjang zaman sehingga ke Hari Kebangkitan.

Setelah umat Islam terpaksa berhijrah kerana agama, meninggalkan kampung halaman turun temurun, sanak saudara serta harta benda mereka di Mekah, Rasulullah saw tidak membiarkan kerugian ini berlarutan tanpa pembelaan untuk umat Islam dan pengajaran kepada kaum yang zalim. Sebaik mendengar rombongan dagang Abu Sufian bergerak dari Mekah menuju ke Syam di mana sudah pasti rombongan tersebut akan melalui Madinah yang berada di tengah-tengah perjalanan, Rasulullah saw merancang untuk merampas harta dagangan tersebut. Di Mekah dahulu, umat Islam diminta bersabar oleh Allah swt dalam menanggung derita, melalui ayat Al-Quran, “Wahai orang-orang beriman, tahanlah tangan-tangan kamu (jangan bertindak terhadap orang-orang yang menyiksa kamu), dan dirikanlah solat” (Al-Quran). Solat sahaja adalah tindakbalas yang boleh mereka lakukan apabila disakiti atau dianiaya oleh Quraisy.

Setelah Hijrah, turunlah ayat “Diizinkan (berperang) kepada yang diperangi kerana mereka dizalimi. Dan sesungguhnya Allah berkuasa memenangkan mereka. (Iaitu) orang-orang yang dihalau dari rumah-rumah mereka (di Mekah dll.) tanpa (alasan yang) hak, melainkan mereka berkata ‘Tuhan kami adalah Allah” (Al-Quran). Umat Islam Muhajirin dizalimi dan kini Allah izinkan perang. Rombongan dagang Abu Sufian seramai 40 orang meluncur laju, berjaya melepasi Madinah dan tiba ke Syam. Rasulullah saw menunggu mereka pulang melalui Madinah, jaraknya 400 km sebelum tiba ke Mekah di selatan.

Apabila menghampiri Madinah, Abu Sufian dapat merasai bahaya yang menunggu, sedang beliau diiringi oleh hanya 40 orang pedagang, bukan pejuang. Dia meramas tahi-tahi unta yang berdekatan. Ia berisi biji-biji kurma. Pasti ia unta dari tentera perisikan Muhammad saw kerana unta-unta Madinah, sebuah bandar pertanian kurma, memakan buah kurma, sedang unta-unta kabilah lain memakan rumput kering. Abu Sufian menghubungi pimpinan Quraisy di Mekah. Mekah menghantar 1000 tentera. Harapan 313 orang Islam untuk melawan 40 pedagang bersama Abu Sufian meleset. Tidak semua orang Islam membawa senjata kerana beranggapan mereka hanya akan melawan 40 orang pedagang. Bilangan mereka turut serta mencapai 313 orang kerana untuk memikul pulang ke Madinah harta rampasan dagangan, bukan untuk berperang, tetapi Allah mengatur dan mahukan mereka melawan 1000 tentera yang lengkap bersenjata untuk berperang. Demikian aturan Allah pada kali ini, lain dari kecenderungan dan harapan hamba-hambaNya di Madinah.

Orang-orang Ansar Madinah pernah memeteraikan Baiah Aqabah II untuk mempertahankan Rasulullah saw di Madinah, sedang pekan Badar berada di luar Madinah. Apabila rombongan dagang Abu Sufian berjaya bolos dan aman menuju ke Mekah, rombongan Islam seramai 313 orang tiada pilihan melainkan bertembung dengan 1000 tentera lengkap Quraisy di Badar. Jika orang-orang Ansar memilih untuk tidak menyertai perang tersebut kerana tidak termasuk dalam perjanjian, maka orang-orang Muhajirin sahaja yang akan berperang melawan tentera Quraisy, sedang bilangan mereka tidak sampai 90 orang. Bilangan Ansar ialah kira-kira 220 orang. Rasulullah saw tanya Abu Bakar As-Siddiq. Abu Bakar ra memilih untuk lawan dengan katanya, “Ajal“, bermaksud, “Ya (kita lawan)”. Umar Al-Khattab ra juga berkata, “Ajal“.

Orang-orang Ansar asalnya diam sahaja sehingga Rasulullah saw meminta pandangan secara umum, “Asyiruni ayyuhannas (berilah pandangan kamu wahai orang ramai)”. Saad bin Muaz ra berkata, “Tuan seperti hendak pandangan kami ya Rasulullah!!”. Mereka senyap kerana mereka ikut sahaja apa keputusan yang diambil oleh Rasulullah saw, bukan Badar tidak termasuk dalam Baiah Aqabah II. “Pergilah ke mana sahaja yang engkau mahu, kami akan bersamamu. Kami tidak akan berkata seperti kaum Musa as berkata kepada Musa (untuk memasuki Palestin), ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami hendak lepak di sini’, tetapi kami (orang-orang Ansar) berkata, ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami bersama kamu berperang!!!”. (Apabila Saad syahid selepas cedera di Perang Khandaq, Nabi saw menyatakan bahawa arasy Allah bergegar dengan kematian Saad). Mereka adalah sebaik-baik umat yang telah dikumpulkan oleh Rasulullah saw sejak 15 tahun yang lalu, sebaik turun dari Gua Hirak.

“Ya Allah!!! Jika (kalah dan) musnah kumpulan ini pada hari ini (Perang Badar), Engkau tidak akan disembah selama-lamanya. Ya Allah!!! Berikanlah kemenangan (pada hari ini) yang telah Engkau janjikan kepada aku”, begitu munajat dan doa Rasulullah saw sehingga jatuh kain selendang dari atas bahunyanya. Kebanyakan tentera Islam tidak bersenjata dan terpaksa menggunakan pelepah-pelepah tamar untuk melawan Quraisy yang berpedang. Kuda hanya 2 ekor yang ditunggang oleh Zubair bin Awwam dan Miqdad Al-Aswad berdepan dengan puluhan kuda Quraisy.

Perang meletus diakhiri dengan kemenangan di pihak Islam yang serba kekurangan di segi kelengkapan tetapi tinggi di segi keimanan dan keperwiraan. Allah swt mendatangkan hujan dan ngantuk sebagai keamanan bagi jiwa tentera Islam. Allah swt menurunkan Malaikat. Belum sempat pelepah tamar memukul mengena leher musuh, leher tersebut terpenggal dek pukulan Malaikat. “Penggallah di atas leher. Penggallah dari mereka semua ubun-ubun (atas kepala)” (Surah Al-Anfaal).

Ghazwah Badar Al-Kubra meninggalkan berbagai pengajaran untuk kita para Duat dan umat Islam hari ini. Di antaranya ialah:

Pertama: Perang atau Jihad, sepertimana ia terdapat di dalam Seerah dan terbentang di dalam Al-Quran akan kewajipannya, ia adalah satu kefardhuan bagi umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Ia adalah suatu yang realiti. Persediaan ke arahnya adalah mesti. Tuntutan terhadapnya demi kemenangan Islam adalah pasti.

Kedua: Di dalam hidup ini, bahkan di dalam perjuangan Islam, kadangkala kita menghendaki sesuatu tetapi Allah menghendaki yang lain pula, dengan hikmah yang tertentu yang hanya diketahui olehNya. Allah swt yang memiliki Dakwah ini, Dia lebih tahu jalannya. Para Sahabat ra berharap dapat lawan 40 pedagang, tetapi Allah hendak mereka melawan dan mengalahkan 1000 tentera lengkap untuk berperang. Kita dituntut beriman, membuat persiapan sedaya mungkin, beramal semaksimanya, dan menyerah hasil amalan kita kepada Allah swt.

Ketiga: Bilangan dan kelengkapan bukan semestinya membawa kepada kemenangan dalam perjuangan. Hakikatnya, keimanan dan pertolongan Allah itu lah yang menentukan kejayaan. Oleh itu asas penting dalam Dakwah ialah Tarbiyah ke arah menghasilkan para Duat dan masyarakat yang Rabbani, bukan sekadar meramaikan bilangan pengikut dan licik mengatur strategi menentang lawan. Oleh itu Jemaah Islam adalah kumpulan manusia yang berhimpun di atas asas Tarbiyah. Tanpanya perkumpulan itu adalah seperti kelab, persatuan, parti, NGO, pertubuhan yang tidak banyak bezanya dari perkumpulan-perkumpulan yang telah sedia ada di mana-mana.

Semoga setiap detik peristiwa sepanjang Perang Badar Al-Kubra tersemat di dalam hati dan fikiran pemuda pemudi dan umat Islam seluruhnya, terutama dalam menghadapi serangan dan penjajahan Barat terhadap mereka yang saban hari semakin memuncak di zaman ini. “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berperang, walaupun perang itu tidak kamu sukai. Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, sedang ia baik untuk kamu. Mungkin kamu suka sesuatu, sedang ia tidak baik untuk kamu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Quran).

SEMPENA RAMADHAN 1430H

Sempena Ramadhan Al-Mubarak 1430H pihak Jawatankuasa Surau UmRI Kg Serkam Tengah mengalu-alukan sumbangan wang untuk perkara berikut:

1. Tahlil arwah untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia yang akan di tahlil kan pada bulan Ramadhan.

2. Sumbangan khas untuk anak yatim dan fakir miskin kg Serkam sempena Ramadhan dan Syawal 1430H.

Semua sumbangan boleh dihantar melalui :

1. No.akaun Maybank diatas nama 'LEMBAGA SURAU UMRI' NO. 104058047579- Tel Cikgu Mohammad Hasan No. 013-3752854 maklumkan nama arwah dan pengesahan wang talah dimasukkan didalam akaun.

2. Melalui Sdra Hj Abdullah Hj Md Nor (Cheras K.Lumpur.) No. tel :019-2349527.