Followers

SEJARAH KAMPUNG SERKAM

Tuan Guru Al-Marhum Hj Omar bin Hj Othman
(CATITAN DI DALAM TEKS JAWI DENGAN GAYA BAHASA ASAL)


Al-Kisah dimulakan mengarang sejarah Kampung Serkam . Adapun Kampung Serkam ini diambil namanya daripada sekam padi. Maka asal pada nur Muhamad,kejadian padi asal ia kulit padi,menjunjung kulit-kulitnya belah dua terbuka sebelah atasnya malam malam diisi oleh air embun apabila air embun penuh kulitnya katup air embun pekat jadi santannya lama lama berat ia meluntur tangkai padi tunduk.Kata orang tua-tua “ikutlah resmi padi,jangan ikut resmi lalang”. “Ada padi serba jadi,ada beras serba deras”.

Maka Kampung Serkam sebelah daratnya ada bukit, diatas bukit ada pohon kelapa tempat orang berteduh masa mengangin dan menumbuk padinya disitu. Sebab itu disitu banyak sekam padi berlonggok dinamakan Kampung Sekam . Tetapi kebanyakan orang tua tiada setuju nama sekam,lalu diubahnya dengan nama serkam. Kalaupun diterjemahkan pada bahasa Arab ‘ser’ maknanya rahsia dan ‘kam’ maknanya beberapa . Boleh dikatakan ‘beberapa rahsia’ Lekatlah nama serkam hingga sekarang.

Tersebut kisah cerita zaman Nabi Allah Noh, apabila karam bahtera daripada bulan Rejab hingga bulan Muharam tatkala kering daripada karam itu, lalulah bahteranya diatas bukit jodi.Segala manusia datang mengadukan lapar kepada Nabi Noh. Kata Nabi bawa kemari apa jenis makanan yang ada dan dibawalah kepadanya tujuh biji satu daripadanya ialah beras, maka dibaca Nabi Allah Noh ‘ Bismallahirrahman Nirrahim’ lalu dijerang didalam satu kawah yang besar. Pada hari itu ialah kena pada 10 Muharam dinamakan bubur asura yang kita amalkan pada tiap-tiap tahun sungguhpun perkara bidaah tetapi bidaah hasanah untuk disedekahkan bubur itu pada kanak-kanak dan orang fakir dan miskin.

(Adapun nama nama ketua2, penghulu imam kampung Serkam ada tercatit didalam sejarah mesjid Serkam - penyusun)

CATITAN KAJIAN LAIN YANG DIBUAT OLEH PENGKAJI SEJARAH MENGENAI SEJARAH KAMPUNG SERKAM

Serkam ialah sebuah kampung letaknya sebelas batu dari bandar Melaka. Perkataan Serkam berasal dari dua gabungan perkataan Arab iaitu ‘Ser’ dan ‘kam’ Perkataan ‘ser’ bermaksud rahsia dan ‘kam’ bermaksud beberapa. Dengan itu Kampung Serkam bererti beberapa rahsia.

Menurut tradisi lisan Kampung Serkam pada asalnya telah diterokai oleh satu keluarga yang berasal dan Pelembang,Indonesia. Ketua keluarga itu ialah Dato’ Isnin. Beliau bersama-sama dengan 5 anaknya yang bernama Abas, Dato’ Marsah, Dato’Ab Raof, Dato’Bujal dan Dato’ Othman . Melalui keluarga inilah berkembangnya masyarakat Serkam hingga ke dewasa ini..

Penghijrahan keluarga Dato’ Isnin mungkin berlaku dalam abad ke 18. Terdapat juga dokumen-dokumen seperti peta-peta Inggeris menunjukkan Serkam wujud pada waktu itu.Tetapi amat ketara pada abad ke 19. Penduduk terus bertambah dari masa ke masa sebahagian besar penduduknya terdiri oleh orang Melayu. Terdapat bangsa-bangsa asing yang tinggal di kampung sepanjang abad yang ke 19. Contohnya pada tahun 1821 kampung ini mempunyai seramai 2,161 orang penduduk. 1,932 daripadanya terdiri dari orang Melayu. 211 orang Cina dan 18 orang India. Kebanyakannya orang asing ini bekerja sebagai peniaga dan peraih.

posted by surau umri @ 5:43 AM 0 comments


SEJARAH RINGKAS SERKAM SEMASA PEMERINTAHAN JEPUN

DITULIS DALAM TEKS ASAL JAWI
OLEH

TUAN HJ OMAR HJ OTHMAN


Maka mula mula orang Jepun datang kemari (Serkam) mengambil gambar dan menjual gula-gula, semuanya menjadi ‘spy’ kerajaan Jepun dan barang barang kain baju serba yang murah belaka sebagai satu umpanan.

Apabila saatnya ia mula masuk daripada Siam Padang Besar dengan bersenjatakan kapal perang yang banyak serta mesin gun dan kerajaan Inggeris belum bagitu kuat kawalannya, dengan pantas ia masuk. Orang orang Inggeris pun lari, maka segala tempat yang berguna semuanya di bom seperti rumah pasung, jambatan.Tetapi ada satu jembatan di kampung ini (Serkam) tidak mahu meletup dan tempat yang dilalu (Jepun) kalau ada basikal diambil pokok kelapa dipanjat, buahnya dimakan .Maka segala pemerintahan bertukarlah dan bendera atas bukit Melaka naiklah bendera Jepun. Sekolah dijadikan sekolah memakai bahasa huruf Jepun.”KATAKANA,HAIRAKAN, Singapura diubah namanya iaitu SYONANTO, Penghulu DANCHO Naib Penghulu ZUKUDANCHO, mata mata kampong JIKIDAN sekolah GAKKO.

Yang paling dahsyatnya makanan ialah ubi kayu disagat jadikan beras masak jadi nasi.Orang tua dan muda dipaksa menanam ubi.Maka saya sendiri terpaksa menyangkul buat batas tanam keledek dan ubi . Kalau beras berjimat-jimat buatkan bubur untuk anak anak kecil.Segala tanaman pokok habis dibuang digantikan dengan tanam pokok makanan belaka.

Maka suatu kisah pula segala Penghulu,Ketua ketua kampung diperintahnya ambil pemuda pemuda dibawa ke Siam. Kampung Serkam diambilnya jumlah 24 orang dan termasuk seorang anak saya bernama Ab Karim bin Hj Omar.Apabila anak-anak kita ada janji hendak beri gaji, tiba tiba diberinya duit Jepun yang bergambar pokok pisang dan sedikit sabun dan mancis api. Saya apabila dapat wang Jepun lalu saya belikan sebuah Quran dan saya buka jadikan satu juzuk dikhairatkan untuk mengaji orang mati ada disimpang hingga sekarang. Maka anak-anak yang pergi tiada seorang pun yang balik. Ada pun yang berbalik dapat lari menumpang dalam kereta api. Katanya pembuat jalan kereta api tidur baring ,makan minum semuanya dalam hutan rimba yang besar.Mati atau hidup tiadalah segala ibu bapa ketahui hanya berserah kepada Allah Taala diharapkan ampunkan dosanya. Segala ibu bapa hanyanya merendam air mata sahaja .

Maka takdir Allah Taala dapat satu pertolongan lalulah kerajaan Amerika menjatuhkan sebutir bom yang paling kuat dinegeri Jepun .Habis rosak binasa dengan sebab sebutir bom itulah lalu kerajaan Jepun mengaku ‘selender’ mengaku kalah.Maka kerajaan Jepun hapus dan baliklah kerajaan ke mari memulihkan segala-gala yang telah dirosakkan kerajaan Jepun itu. Barangkali juga berkat doa orang orang soleh-soleh .Beberapa amat kerajaan Inggeris hendak memulihkan segala galanya itu. Tetapi kerajaan Inggeris ganti rugi segala pokok pokok getah yang ditebangnya itu bilang longgok dibayar. Tetapi yang pergi ke Siam khabarnya dengan permintaan Yang Amat Berhormat Tengku Ab Rahman kerajaan Jepun hendak beri sebuah kapal, wallahoalam. Tidak ada cerita perkara itu.Masanya perintah Jepun 3 tahun 8 bulan . Maka mata wang Jepun bersepah bertimbun dan diganti wang baru oleh kerajaan Inggeris.

Al-Kiash suatu perkara lagi apabila kerajaan sudah memerintah Tanah Melayu, seluruhnya ada suatu ikhtiar kerajaan hendak ubah cara cara ia menjajah oleh wakilnya Tuan ‘Makmikal’ hendak dijadikannya yang bernama Malayan Union, tujuannya hendak menghapuskan raja Tanah Melayu kuasa raja-raja Tanah Melayu. Alhamdullilah, memberi pertolongan dan hidayatnya kepada seorang hamba nya Yang Berhormat Dato’ Onn Jaafar setelah balik dari England apalagi pergilah tiap-tiap buah negeri diTanah Melayu memberitahu menerangkan kepada seluruh rakyat Tanah Melayu menyatakan peraturan yang dibawa oleh Tuan ‘Makmikal’ tujuannya hingga menghapuskan kuasa raja-raja Tanah Melayu. Apabila mereka datng semua rakyat tidak sekali menerima undang undang itu jangan keluar.

Maka datang ‘Makmikal’ kemari tiap tiap negeri tidak keluar nyatalah rakyat tidak setuju . Mereka itu pun balik dengan hampa cita-citanya itu.

Bahawa disini bolehlah dikatakan dengan pertolongan Yang Berhormat Dato’ Onnlah membalikkan kuasa raja-raja Tanah Melayu akan takhtanya ini syukurlah kita kepada Allah Taala yang Maha Kuasa.

Al-Kisah tersebut perihal Tanah Melayu dapat merdeka oleh ketua2 yang bijak pandai terutama Dato’ Onn dengan Yang Berhormat Tengku Ab Rahman Al-haj, didapati ada berselisih pendapat Dato’ Onn kerayaatan mahu dijaga jangan terlalu luas dibuka pintu kerayaatan . Tetapi Yang Mulia Tengku mahu lekas dapat kemerdekaan itu undang undang Tengku siapa cepat ia mendapat terpaksa berkongsi dengan tiga-tiga rakyat Cina dan Keling dan rakyat Melayu bagus juga. Tetapi jalan Dato’ Onn tabiat orang tua seperti kata bidalan Melayu’ Biar lambat tetapi selamat’.

posted by surau umri @ 5:43 AM 0 comments


SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN SERKAM
(EHSAN: portal.mmu.edu.my)
Bangunan Sekolah Kebangsaan Serkam yang dibina pada tahun 1924 dan telah diubah suai pada tahun 1977.


Sekolah Kebangsaan Serkam diasaskan daripada kesedaran cerdik pandai agama. Sekolah pertama dibina di Serkam Darat pada tahun 1888 iaitu selepas Perang Rokam meletus di Serkam.

Pengasas sekolah ini ialah Dato’ Demang Baba bin Dato’ Sidang Saad. Beliau adalah pemimpin masyarakat jajahan ketika itu. Beliau merupakan anak watan yang bagitu mementingkan pembelajaran anak-anak . Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab yang bagitu kuat serta kuasa yang ada padanya, akhirnya dengan bantuan dan kerjasama penduduk kampung maka terlaksanalah cita-citanya untuk membantu anak-anak buahnya mendapatkan pelajaran yang sewajarnya pada waktu itu.. Ketika ditubuhkan murid disekolah ini berjumlah 16 orang dengan tenaga pengajarnya seramai 2 orang guru.

Pada tahun 1900, sebuah sekolah baru telah dibina diatas lokasi sekolah sekarang dengan nama Sekolah Melayu Serkam. Pada tahun 1956 Sekolah Melayu Serkam bertukar nama iaitu Sekolah Umum Serkam. Selepas merdeka sekali lagi sekolah ini bertukar nama iaitu Sekolah Kebangsaan Serkam hinggalah kehari ini.

Bangunan tambahan pertama yang dibina iaitu sebuah bangunan kayu pada tahun 1924. Diikuti bangunan tambahan kedua juga bangunan kayu iaitu pada tahun 1965. Seterusnya bangunan tambahan ketiga sebuah bangunan batu pada tahun 1977. Pada 1990 Sekolah Kebangsaan Serkam mendapat sebuah lagi bangunan tambahan iaitu sebuah bangunan batu. Dan pada tahun 1999 ini, Sekolah Kebangsaan Serkam mendapat sebuah lagi bangunan tambahan iaitu bangunan batu.


Murid2 Darjah 4A Tahun 1959 bergambar bersama Guru Darjah Allahyarham Cikgu Saleh Ismail. Gambar dibelakang ialah bangunan sekolah yang dibina pada tahun 1924.
Gambar dari kiri ke kanan (berdiri): Ab Rahim Abdullah,Ab Razak Hamid, Abdullah Md Nor,Abdullah Md Dom,Mohd Adam,Zainal MdJani,Allahyarham Othman Hj KadirMohammad Hj Said,Md Nar Abdullah,Md Nor Mohammad,Cikgu Salleh Ismail,Ismail Ab Latif,Shaari Md Zain, Omar Mohammad, Allahyarham Yusof Samad, Jansar, Abdullah Abas,Ali Hj Ahmad,Abu Ab Rahman,Allahyarham Ab Rahman Ab Rahim, Sulaiman Hashim.

Gambar dari kri ke kanan (duduk) : Fatimah Kasim,Rokiah Adam,Mariam Sapi,Asmah Mohd,Aminah Md Nor,Zaiton Ishak,Sapiah Saeh,Tijah Dol, Rosmah Ab Rahman,Saorah,Maimunah Hashim.


posted by surau umri @ 5:43 AM 0 comments


Senarai Guru Guru Besar Sekolah Melayu –Kebangsaan Serkam

Hj Tain Hj Tahir
29Sep 1945 - 2 Okt 1947

Hj Jaamat Idris
19 Feb 1947 - 8 Feb 1948

Hj Jantan Chombok
01 Mac 1948 – 5 Jan 1949

Hj Jaafar Muhammad
5 Jan 1949 - 30 Mac 1950

Hj Ab Ghani Abu
2 April 1950 - 7 Okt 1952

Md Yasin Mahat
20 Okt 1952 - 2 Jun 1956

Hj Ab Rahim Baba
3 Jun 1956 - 6 Okt 1960

Hj Md Said Bakar
15 Okt 1960 - 29 Dis 1960

Hj Harun Ngah
1 Jan 1961 - 29 Jun 1961

Hj Abdullah Mohammad
1 Jul 1961 - 12 Jan 1963

Hj Talib Sudi
13 Jan 1963 - 8 Mei 1976

Hj Samad Hj Ahmad
9 Mei 1976 - 31 Ogos 1977

Hj Hassan Hj Omar
1 Sep 1977 - 30 Mei 1986

Hj Hassan Hj Ibrahim
1 Nov 1986 - 15 Ogos 1991

Alias Ab Latib
16 Ogos 1991- 30 April 1994

Ramlah Hj Majid
1 Mei 1994 – 1 Jan 2001

Rosiah Hj Ismail
1 Jan 2001 - sekarang