Followers

SEJARAH UMRI

SEJARAH SURAU UMRI
( DARI ABAD KE 19)

Tersebut alkisah satu cerita
Kampung Serkam terukai namanya
Sirahnya banyak tiada terkira
Penduduknya hidup aman bahagia

Beduk dipalu gegak gempita
Azan dan qamat laungan bergema
Imam dan makmum sudah sedia
Di surau Umri solat bersama.

Kampung Serkam suatu nama yang sinonim dengan masyarakat yang kuat beribadat . Kampung ini dibahagikan kepada beberapa bahagian; Serkam Timor,Serkam Darat,Serkam Pantai,Serkam Tenag dan Serkam Baruh. Di Kampung Serkam Tengah yang jaraknya 18km dari bandar Melaka ,lebih kurang 25 km dari bandar Muar dan lebih kurang 500 meter dari persisiran pantai Selat Melaka terletaknya surau UMRI.

Surau ini dibina di atas suatu kawasan tanah berkeluasan lebih kurang 1,600 kaki persegi yang di wakafkan oleh Almarhum Tuan Guru Hj Omar Hj Othman (Tok Alang) atas nama pemegang amanahnya iaitu Tuan Guru Hj Mohd Said Hj Ahmad (Tok ‘Aid). Tanah wakaf tersebut telah di’sukat’ (istilah lama) atau diukur oleh seorang yang benama ‘Chalus’. Ianya dibina pada sekitar tahun antara 1926 dan 1927 secara gotong royong oleh orang orang kampung .
Adalah dipercayai ianya siap dibina keseluruhannya pada tahun akhir 20’an yang diperbuat dari kayu dan beratapkan nipah.Struktur asas bangunan itu ialah di bahagian ruang solat yang ada sekarang sahaja.

Setelah siap dibina , surau tersebut diberi nama MADRASAH AL UMRI iaitu mengambil sempena nama tuanpunya tanah Tuan Hj Omar.Bangunan asal itu mampu menampung jemaah muslimin muslimat seramai antara 100 dan 150 orang jemaah.UMRI telah didirikan kerana masyarakat di sekitar kawasan tersebut pada masa itu merasakan amat perlu didirikan sebuah surau untuk ahli qariah ber solat berjemaah dan tempat untuk belajar agama.

Sebelum itu mereka menghadapi kesulitan untuk mendirikan solat waktu secara jemaah kerana ketiadaan surau. Kebanyakan penduduk pergi untuk solat waktu berjemaah di Surau Hj Hassan yang terletak lebih kurang 500 meter dari rumah mereka dan untuk bersolat Jumaat di Masjid Kampung Serkam yang letaknya 500 meter juga. Surau Hj Hassan telah di dirikan pada tahun 1867M oleh ulama’ terkenal Tuan Guru Hj Hassan atau dikenali sebagai Hj Hassan Alim.Terdapat beberapa buah rumah dan bangunan di sekeliling surau Umri ; diantaranya ialah rumah Tuan Hj Omar , Tn Hj Md Nor Fakeh, Pak Itam dan kedai runcit kepunyaan Syarikat Hj Ab Majid and Company cawangan 1 yang terletak di tapak rumah Hjh Kalsom Hj Omar/Allahyarham Cikgu Hj Omar Hj Majid yang ada sekarang.

Di awal tahun tiga puluhan UMRI telah berkembang dengan lebih pesat lagi dan dibangunkan sebagai suatu institusi pengajian agama Islam dan pusat pendidikan yang agak lebih kemas dan teratur di bawah pimpinan Tn Hj Omar Hj Othman (Tok Alang). Dengan kembalinya Tuan Hj Said Hj Ahmad (Tok ‘Aid) ke tanah air dari pengajian beliau di Makkah sekitar tahun 30an itu, tugas mengajar di UMRI telah juga dijalankan oleh Tuan Hj Said bersama Tuan Hj Omar. Akhirnya beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Surau UMRI yang pertama oleh Tuan Hj Omar dengan beberapa orang ahli jawatankuasa termasuk Tok Itam selaku Bendahari surau.Antara pelajar terawal yang belajar di Surau Umri ialah Tn Hj Taib Hj Ahmad,allahyarham Tn Hj Salleh Baba (Salleh Naning) allahyarhamTn Hj Salleh Ahmad,Tn Hj Harun dan Hj Salleh Ngah dan ramai lagi yang kebanyakannya telah kembali ke rahmatullah.

Mungkin hampir keseluruhan anak-anak kampung Serkam Tengah dan Barat yang sekarang ini berumur 40 tahun ke atas yang kini ramai merantau di negeri orang telah mendapat pelajaran dan didikan Islam awal melalui Allahyarham Tn Hj Omar dan Allahyarham Tuan Hj Said . Mereka adalah anakdidik UMRI ! .Sistem pengajian awal di UMRI itu dijalankan dengan cara guru membaca kitab fardu ain yang dinamakan Kitab Perukunan. Dizaman itu pengajian seperti ini dinamakan sebagai ‘Baca Rukun’. Selain dari pelajaran Fardu Ain itu , yang terpenting sekali ialah pelajaran pengajian Al-Quran dan Tajwid serta berlagu.Disamping itu diadakan juga pembelajaran berzanji, bernazam ,berqasidah dan sebagainya.

Pengajian untuk kanak-kanak dan dewasa diadakan di surau dan untuk kaum ibu ianya diadakan di rumah Tuan Hj Omar itu sendiri.Pada awal tahun 60an UMRI telah berkembang dengan lebih pesat lagi. Keluasan surau yang sedia ada tidak dapat menampung pertambahan pelajar . Pihak surau yang di pegerusikan oleh seorang guru iatu Tn Hj Talib Md Sudi bersama sama ahli jawatankuasanya termasuk Tuan Hj Taib Hj Ahmad telah mengambil inisiatif untuk membina sebuah bangunan tambahan untuk dijadikan sebuah sekolah bagi menampung kemasukan pelajar yang kian bertambah. Tuan Hj Taib telah memohon hampir seluruh kampung untuk mendapatkan dana dan juga bantuan seperti kayu dan lain-lain. Alhamdullilah, rayuan beliau telah mendapat sambutan orang-orang kampung. Melalui Dato Pengulu Yusof, Tok Sidang Mat Chion beliau mendapat banyak sumbangan kayu termasuk juga dari Cina Achai.

Sekitar tahun 1964 , maka terdirilah sebuah bangunan baru berdindingkan papan berlapis dan jejaring kawat di sebelah surau UMRI ini yang boleh menampung hampir 150 orang murid pada waktu itu yang dinamakan SEKOLAH AGAMA UMRI . Namun sebelum murid murid dapat belajar di bangunan itu,sementara ianya dalam proses pembinaan, ramai murid terpaksa belajar di luar surau secara ‘open air’ di tanah lapang seperti yang dapat dilihat didalam gambar.

Bersebelahan dengan sekolah itu terdapat sebuah kedai perkakasan (hardware) dan kedai kayu binaan rumah kepunyaan Tuan Hj Jalil Hj Omar (Pak Jalil) dan Tn Hj Taib Ahmad diatas nama Syarikat Taib Jalil yang lokasinya sekarang ini ialah di atas jalanraya yang ada sekarang.Bangunan Sekolah Agama UMRI ini juga telah didirikan di atas tapak tanah yang diwakaf kan oleh anak kepada Allahyarham Tn Hj Omar iaitu Hjh Kalsum.