Followers

Selasa, 29 Mei 2007

SEJARAH MASJID JAMEK KAMPUNG SERKAM,MELAKA

SEJARAH MASJID JAMEK KAMPUNG SERKAM,MELAKA

(BUAT KENANGAN ANAK CUCU AKAN DATANG)

OLEH:

HJ OMAR BIN HJ OTHMAN
(TOK ALANG)

DAN

HJ HAMZAH BIN HJ AHMAD

(disusun pada tahun 1979)

(Teks Jawi dengan Gaya Bahasa Asal)

PENDAHULUAN

Sebenarnya sejarah Masjid Jamek Kampung Serkam ini tiada didapati sebarang naskhah atau peringatan bertulis dari nenek moyang kita kira-kira seratus tahun dahulu yang boleh dijadikan panduan kami untuk menuliskan satu sejarah yang lengkap untuk dibaca oleh jenerasi akan datang hanyalah kira-kira lima puluh tahun kemudian iaitu dari tahun 1925 baharulah didapati buku-buku peringatan mesyuarat yang diusahakan oleh Allahyarham Tuan Hj Yahya bin Abas sebagai setiausaha masjid ketika itu.

Dalam pada itu pun banyak perkara perkara yang mustahak tidak dituliskan tarikhnya dengan lengkap.

Sejarah yang dituliskan ini cuma berdasarkan cerita-cerita mulut yang di dengari dari datuk nenek kita yang telah mendengar cerita cerita dari orang yang dahulu daripadanya.

Oleh yang demikian jika didapati apa-apa kekurangan dan perselilisahan pendapat dari apa yang tertera dalam buku ini marilah sama-sama kita menambah dan membaikinya, kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan menuntut berbanyak-banyak maaf.

Walaubagaimana pun kita patut bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana mereka telah berjasa dan telah berkerja secara bergotong royong dengan tidak mengharapkan bantuan dari mana- mana pihak telah dapat mendirikan sebuah bangunan masjid yang elok dan kukuh untuk faedah kita bersama dan generasi akan datang.

Penyusun
Dengan Nama Allah Yang Amat Pemurah Lagi Maha Penyayang
SEJARAH MASJID JAMEK KAMPUNG SERKAM MELAKA

Menurut cerita dari orang tua2 bahawa masjid yang mula-mula didirikan di Kampung Serkam ini iaitu sebuah masjid kecil yang dibuat daripada kayu bertempat di tepi sawah berhampiran dengan Pekan Serkam(Simpang Empat) kerana masa itu penduduk kampung itu ramai ramai disitu iaitu zama Allahyarham Dato’ Abas dan Dato’ Marsah bin Isnin.Tarikh binaan masjid tersebut tiada didapati.

Apakala penduduk kampung ini telah bertambah ramai disebelah baruh (selatan) kampung ini, maka bermuafakatlah anak-anak kampung ini mendirikan sebuah masjid yang agak besar diperbuat daripada batu di Serkam Pantai terletak ditepi Sungai Serkam yang ada sekarang.

Tatkala hendak meletakkan tapak masjid ini telah menjadi perselisihan anak-anak kampung, setengahnya berkehendakkan masjid itu disebelah timor sungai dan setengahnya berkehendakkan disebelah barat sungai. Menurut pandangan Allah yarham Tuan Imam Hj Mohd Said bin Penghulu Marsah yang terkenal dengan nama Tok Andak serta Tok Penghulu Amar, kedua-dua beliau tidak bersetuju didirikan disebelah timor sungai kerana menurut beliau disebelah barat sungai pada masa itu ada seorang tua yang menjadi guru agama yang ramai bilangan murid2nya bernama Tuan Haji Hasan bin Hj Ab Aziz mungkin beliau akan mendirikan sebuah masjid lain pula disoloknya ditakuti anak anak kampong akan jadi berpuak-puak antara timur dan barat .

Oleh sebab pandangannya munasabah, maka anak anak kampung sebulat suara bersetuju meletakkan bangunan masjid ini disebelah barat Sungai Serkam ditempat yang ada sekarang ini.

Kayu-kayu yang digunakan bagi binaan masjid ini kebanyakan ditarik dengan kerbau dari hutan-hutan yang besar dan batu-batunya pula digunakan batu-batu karang yang diambil dari laut berhampiran Pulau Besar dengan mengunakan perahu-perahu oleh anak-anak buah kampung, dan daripada batu-batu karang inilah dibina dinding-dinding masjid dan setengahnya diukir dibuat berbagai-bagai gubahan untuk menghiaskan kemuncak dan penjuru-penjuru atap atap masjid ini dengan elok dapat dilihat hingga sekarang.

Kerja mendirikan masjid ini diketuai oleh Allah yarham Datok Penghulu Amar dan Imam Tuan Hj Mohd Said bin Penghulu Marsah yang terkenal dengan panggilan Tok Andak.

Allahyarham telah meninggal dunia di Muar, Johor pada tahun masihi 1888 beliau pindah ke Muar bersama-sama keluarganya disebabkan membawa diri akibat pertentangan dengan pegawai pemerintahan kerajaan British yang mentadbirkan Daerah Jasin Melaka didalam perkara menetapkan cukai tanah di Serkam ketika itu.

Ramai anak-anak buahnya dari Serkam mengikut beliau berpindah lalu membuat kampung halaman di Muar hingga sekarang masih terdapat nama satu jalan Lorong Serkam dibandar Muar. Perpindahan mereka adalah dengan persetujuan Sultan yang memerintah Johor ketika itu iaitu AlMarhum Sultan Abu Bakar.

Pusara Allahyarham sentiasa diziarahi oleh anak cucunya hingga sekarang bertempat di tanah perkuburan Saidiah iaitu mengambil sempena nama beliau.
Gambar Masjid Jamek Kampung Serkam sekitar tahun 1940an.
CERITA TAMBAHAN :

Maka mula mula ura-ura hendak mendirikan Masjid Serkam yang kedua ini ialah disebelah sungai sebelah timor, maka jauh telek pendapat fikiran Allahyarham Dato’Andak iaitu Tuan Hj Mohd Said dan Tuan Khatib Jamal dan Tuan Bilal Ridin, lok didirikan sebelah barat sungai ini kerana katanya kita belum ramai jika didirikan sebelah timor takut orang sebelah barat akan mendirikan lagi masjid sebelah barat. Kelak masa itu takut kita belah timortak cukup jemaah.Dengan sebab itu sebulat suara anak anak buah setuju didirikan masjid ini disebelah barat sungai Serkamini diatas sebuah tanah yang telah diwaqafkan oleh LAHAD namanya dan ada kuburnya dihadapan mihrab masjid ini.

Kemudiandengan pakatan ketua ketua kampung dengan panduan Dato’Andak lalu dapat didirikan sebuah menara tempat azan.

Kemudian masa Imam Hj Daud Hasanuddin dan Khatib Hj Mohammad dan Bilal Hj Taha, lalu dapat diperbaiki rumah masjid ini digantikan apa-apa yang buruk dan membuat atap kolah masjid.

Maka dengan ikhlas Tuan Hj Mohd Ali Hj Mohd Said pada haribulan 14 Rejab 1359 H berbetulan 18 Ogos 1940 beliau mengeluarkan belanjanya sendiri mendirikan tiga tiga rumah tangga masjid ini (Lihat gambar rumah tangga masjid)

TARIKH DIDIRIKAN MASJID YANG ADA SEKARANG

Pada papan pintu tengah hadapan masjid ini ada papan bersurat akan tarikh didirikan masjid ini tertulis dengan ukiran huruf jawi yang elok seperti berikut:


Gambar ukiran kayu tulisan jawi lama dengan pernyataan sejarah seperti di bawah;

Sanah 1279H ( tahun 1279H )

“Kepada empat belas haribulan Syawal hari Khamis jam pukul lapan masa itu perihal Datok Penghulu Amar dan Tuan Imam Hj Mohd Said Ibni Al-Marhum Datok Penghulu Marsah serta anak-anak buah membuat waqaf di Kampung Serkam mendirikan Agama Rasulullah membuat Masjid Allah tempat sembahayang segala hamba Allah”

“Amin Ya MujibasSaailin”

Akan tarikh hijrah yang tersebut bersamaan tahun masihi 1853 dari tarikh tersebut hingga sekarang masjid ini telah berumur lebih dari 126 tahun.

TANAH TAPAK MASJID

Tanah tapak masjid yang ada ialah diwaqafkan oleh seorang tuan tanah yang bernama Datok Lahad yang tinggal berhampiran masjid itu pada ketika itu dan kuburnya ada didalam kawasan masjid dihadapan mehrab dengan bertembok batu.

TARIKH DIBINA MENARA

Menara masjid yang ada sekarang tingginya kira-kira 70 kaki telah dibina dalam tahun 1280 Hijrah digunakan tempat bilal azan yakni ‘bang’ tiap tiap waktu bagi memanggil orang datang sembahayang dimasjid terutama pada hari Jumaat dan juga untuk dipasang lampu dikemuncak menara itu menandakan malam hari kebesaran umpama hariraya.

Kebanyakan bahan-bahan yang digunakan bagi membuat menara itupun dari batu batu karangan laut juga yang diambil oleh anak-anak buah kampung dari laut berhampiran Pulau Besar dilaut Melaka dengan menggunakan perahu. Kapur digunakan bagi mengikat batu-batu tersebut kerana simen sukar didapati ketika itu.

Satu peristiwa telah berlaku iaitu tatkala menara itu baru-baru siap dibina, sekalian tukang tukang dan orang kampung pun ramai yang cuba naik keatas menara itu untuk menyaksikan dan setelah selesai sahaja mereka turun ,tiba tiba dengan takdir Allah s.w.t menara itu runtuh rebah ketanah. Masing masing mengucap syukur kehadrat Allah s.w.t kerana terlepas daripada bahaya ditimpa kemalangan jiwa.

Setelah itu bermuafakatlah sekalian anak anak kampung bagi membina semula menara itu dengan teguhnya ditempat yang ada sekarang juga. Kekal tiada tumbang dan masih digunakan dengan baik hingga sekarang.

SEJARAH MIMBAR MASJID

Mimbar masjid yang ada sekarang telah diperbuat dalam tahun hijrah 1286 iaitu bagi tempat khatib membaca khutbah, diperbuat daripada kayu yang baik berbentuk sengan menarik atap dan dindingnya berukir dengan bunga2an awan larat yang elok.

Menurut ceritanya tukang yang membuatnya itu terdiri tiga orang tukang yang mahir membuat ukiran dari anak anak kampung serkam sendiri iaitu:

Allahyarham Encik Yunos (Tukang yang tua)
Allah yarham Encik Ibrahim (Tukang yang muda)
Allahyarham Encik Berima (Tukang ketiga)

Nama ketiga-tiga mereka ada diukir dibahagian sebelah dalam mimbar itu perkataan berangkap seperti syair ditulisan dengan ejaan tua seperti yang disuratkan dibawah ini:

''Mimbar dia buat tukang bertiga
Encik Unus tukang yang tua
En Aim tukang yang muda
En Beri ma tukang ketiga
En Aim tukang yang muda
Menulis bunga menang ada
Bunga dikarang dalam dada
Awan bercampur bunga berlanda
Encik Berima tukang ketiga
Memahat bunga bagi dijangka
Tangan memahat hati mereka
Sekuntum bunga cempaka.''


Di pintu tembok hadapan masjid itu ada dibina sebuah rumah tempat manruh beduk (tabuh) untuk dipalu pada hari hari Jumaat menandakan masuk waktu sembahyang Jumaat seperti digunakan disetengah2 masjid di negeri ini hingga hari ini.

Tarikh dibina iaitu pada tahun 1929. Pada masa ini rumah beduk yang tersebut telah dipecahkan kerana kawasan itu digunakan tapak bangunan tambahan masjid yang baru yang dibuat dalam tahun 1973.

Rumah beduk (Tabuh)

TARIKH DIBINA ATAP RUMAH TANGGA

Dalam tahun 1940 telah dibina tiga buah rumah atap tangga masjid, kiri kanan dan hadapan masjid dibina dengan derma ikhlas Allahyarham Tuan Hj Mohd Ali bin Mohd Said iaitu anak Allah Al-Marhum Tuan Imam Mohd Said yang mula membina masjid Serkam ini.

Bangunan ini dibuat bertiang batu dan ‘bersattah’ berukir dengan ayat-ayat Quran dengan elok diatas bendul bendul hadapan.

Pada masa ini rumah atap tangga bahagian hadapan telah dipecahkan kerana mendirikan bangunan tambahan masjid, manakala rumah atap tangga bahagian kiri dan kanan masih digunakan dengan baiknya.


SAMBUTAN 100 TAHUN UMUR MASJID

Pada malam Jumaat 25.6.53 telah genap umur masjid ini selama 100 tahun satu majlis kesyukuran telah diadakan. Pada malam yang tersebut sekalian anak-anak kampung telah berhimpun di masjid kerana mengadakan kenduri arwah kepada sekalian ibu bapa dan datuk nenekyang telah meninggal dunia dan mereka sekalian telah berjasa meninggalkan sebuah masjid untuk anak cucunya hari ini.

TAK DAPAT MENDIRIKAN SEMBAHYANG JEMAAH

Satu sejarah yang tiada patut dilupakan terjadi 13 Mei 1969 iaitu satu rusuhan dan pergaduhan antara kaum di Kuala Lumpur dan merebak pula kelain negeri .Banyak jiwa terkorban .Kerajaan telah mengishtiarkan darurat seluruh malaysia.

Berbetulan pada hari Jumaat 16.5.69 tiada dapat mendirikan sembahyang jemaah dimasjid kerana merata-rata kampung dikenakan perintah berkurung .Orang ramai tiada dibenarkan keluar rumah dalam masa berkurung .Jadi tiadalah dapat anak-anak kampung keluar ke masjid sembahyang jemaah hari itu.

BANGUNAN TAMBAHAN MASJID SERKAM

Oleh sebab ahli jemaah Serkam telah bertambah tambah ramai dan masjid yang sedia tidak cukup tempat bagi menumpang jemaahnya terutama pada pada hari raya,maka ahli lembaga masjid ini telah berikhtiar membina bangunan tambahan dihadapan bangunan masjid yang sedia besarnya 30x40 kaki iaitu diperbuat daripada batu dan atapnya sotoh bangunan ini telah siap dan dapat digunakan dalam bulan Januari 1973.

PEGAWAI-PEGAWAI MASJID

Pada permulaannya masjid ini adalah ditakbirkan oleh pegawai-pegawai syarak dan adat iaitu terdiri daripada imam,bilal,khatib,datuk penghulu dan sidang-sidang dalam kampung bagi mengawas dan mentadbirkan perjalanan masjid pada 7.1.1925 bersamaan 11haribulan Jamadilakhir sunah 1343 satu mesyuarat pegawai-pegawai tersebut di atas diadakan dirumah datuk penghulu Baba bin Muhammad Saad kerana melantik pegawai-pegawai dan ahli mesyuarat masjid dengan tujuan hendak menyelamatkan hak-hak masjid.

KEPUTUSAN NAMA-NAMA MEREKA YANG TERSEBUT DIBAWAH INI TELAH DIPERSETUJUKAN

Penaung : Datuk Penghulu Baba Bin Muhammad Saad
Nazir :Tuan Haji Muhammad Zain Bin Haji Muhammad Said
Penolong Nazir :Tuan Haji Abu Bin Abdul Ghani
Setiausaha :Sidang Yahya Bin Abdullah
Penolong Setiausaha :Sidang Hitam Bin Muhammad Amin

AHLI MESYUARAT

Sidang Muhammad Yunus Bin Rabu
Sidang Sabudin Bin Muhammad Aqil
Abdul Ghani Bin Bakar
Yaakub Bin Haji Ahmad
Sidang Haji Baginda Bin Jalil
Tuan Haji Alias Bin Haji Hassan
Ismail Bin Laham
Abd Majid Bin Awang

Sekianlah menurut catitan yang ditulis oleh Alahyarham Tuan Haji Yahya Bin Abdullah sebagai Setiausaha masjid yang mula mengadakan buku catitan minit mesyuarat masjid ketika itu hal-hal yang berlaku terdahulu dari tarikh ini tiada diperolehi.

JAWATAN SETIAUSAHA MASJID

1.Tuan Haji Yahya Bin Abdullah 7.1.25 hingga 25.2.40
2.Tuan Haji Tain Bin Haji Tahir 26.2.40 - 26.3.46
3.Tuan Haji Hamzah Bin Haji Ahmad 27.3.46 - 4.11.68
4.En. Mohd Said Omar 5.11.68 -

JAWATAN IMAM

Tuan Hj Mohd Said Mirsah (Tok Andak)
Tuan Hj Hasanuddin Hj Mohd Said (Kadi Jasin Pantai)
Tuan Hj Daud Hj Hasanuddin (Berhenti 31.10.25)
Tuan Hj Mohhammad Tannuddin (Mulai 5.9.26)
Tuan Hj Othman Hj Mohammad

JAWATAN BILAL

Ridin Datok Kasing
Abu Ridin
Mohd Taha Hasanuddin
Fadzil Hj Taha 7.10.27 - 1.12.27
Hj Hashim Haji Sharif 15.12.27 - 18.01.29
Hj Taib Nordin 19.1.29
Mahmud Hitam

JAWATAN KHATIB

1. Khatib Jamal
2. Tuan Hj Ahmad Khatib Jamal
3. Tuan Hj Mohammad Hj Ahmad 5.9.26
4. Tuan Hj Mohammad Tannuddin 17.7.25
5. Tuan Hj Ahmad Hj Mohd Ali 25.9.26 – 28.10.26
6. Tuan Hj Mohd Said Hj Ahmad
7. Tuan Hj Omar Hj Talib

JAWATAN PENGHULU KAMPUNG SERKAM

Marsah bin Isnin
Kaim bin Abas
Amar bin Mirsah
Dol bin Bidin
Kasim bin Dol
Baba bin Mohd Saad
Abu Bakar bin Mohd Amin
Hj Mohd Said bin Hj Sabudin
Saadun Lidin
Yusof bin Jalil
Nekmat bin Shawal
Mohammad bin Suratin

Dukacita pegawai pegawai yang telah berkhidmat dimasjid ini tiada dapat tarikh2nya yang lengkap kerana pihak masjid tiada menyimpan buku buku peringat yang berkenaan.

AHLI AHLI JAWATANKUASA TADBIR MASJID JAMEK SERKAM 1978-1979

Pengerusi - Tuan Hj Talib bin Mohd Sudi
Naib Penegrusi - Tuan Hj Hamzah bin Hj Ahmad
Setiausaha - Cikgu Mohd Said Omar
Pen.Setiausaha - Cikgu Ab Wahab Hj Hashim
Bendahari - Tuan Hj Harun Ngah

JAWATANKUASA DARI PEGAWAI2 MASJID

Tuan Imam - Tn Hj Othman Hj Mohammad
Tuan Bilal - Mahmud Hitam
Tuan Khatib - Hj Omar Hj Talib
Tuan Mungkim - Hj Ab Rahim Ahmad
Tuan Noja - Ab Hamid Mohd Said

JAWATANKUASA WAKIL MASJID DAN SURAU

MASJID : Tuan Hj Adam Mohd Nor
Tuan Hj Yaakob Ayob
Datuk Sidang Ab Rahim Mohd Yasin

SURAU UMRI : Tuan Hj Omar Hj Othman
Tuan Hj Ab Latif Hj Omar

SURAU HJ HASAN : Tuan Hj Dol bin Saadoman
En. Mohammad Mohd Nor

SURAU PEKAN : Tuan Hj Abu Hitam
Tuan Hj Abdul Sahimin

SURAU TIMOR :Tuan Hj Ab Ghani Tawil
En.Jaafar Hj Hashim

SURAU ANAK AIR :Cikgu Salleh Hj Mohd Ali
Cikgu Yusof Mohammad

PEMERIKSA KIRA2 :Cikgu Hasan Ibrahim
Cikgu Mohammad Hj Tain.

SEJARAH PEMBINAAN MASJID SERKAM DARAT


(Catatan dibuat oleh Allahyarham Tuan Hj Omar Hj Othman dengan gaya bahasa asal )

Al-Kisah tersebut pula orang orang Serkam Darat apabila penduduknya bertambah ramai, berpakatlah ketua2nya iaiatu Tuan Hj Othman Hj Mohammad, Tuan Hj Harun Hasan ,Tuan Hj Md Zain Bujal,Tuan Hj Rahmat bin Mat dan Tuan Hj Abas Hj Talib dan lain-lainnya memungut derma dari orang ramaidan dapat bantuan daripada Pejabat Agama Islam Melaka. Al Fadzil Tuan Mufti Hj Hasan Abu Bakar dan Yang DiPertua datang buat menentukan sempadan qariah antara Masjid Serkam dengan Masjid Serkam Darat. Pada 17hb Sep 1965, maka masjid Serkam Darat pun mulalah mendirikan Jumaat diatas sebuah surau ditepi sawah.




Sekarang mereka membina sebuah masjid yang elok daripada batu, bantuan kerajaan Negeri Melaka. Pemecahan qariah kedua masjid adalah persetujuan pihak berkuasa agama Islam negeri Melaka , Tuan Mufti Hj Hasan bersama datang membahagikan qariah masjid masing-masing untuk ahli jemaah sembahayang Jumaat, nikah kahwin, kematian dan sebagainya.

2 ulasan:

Hornbill Security Solution Sdn Bhd berkata...

tahniah, sejarah dapat ditulis dengan baik walaupun masih tidak cukup lengkap. pengumpulan bahan sejarah harus diteruskan. yusri latip - cucu tok isnin

Unknown berkata...

Syabas diatas usaha murni ini dalam memastikan nama & sejarah Kg Serkam tetap dalam ingatan anak cucu akan datang. Tak byk kg di Melaka Bersejarah ni yg punyai sejarah asal usul bertulis kerana sbhgn besarnya dlm bentuk lisan. Cuma 1 atau 2 perkara perlu dikesahkan di sini ialah:- 1)Kg Serkam pernah melahirkan puluhan alim-ulama, imam-bilal, qari-qariah,tokoh negara dan lain2 dari dulu hingga sekarang, yg pernah mgharumkan nama Serkam, Jasin dan negeri Melaka amnya. 2) Kalaulah ada senarai2 tokoh spt yg disebut di atas, lebih baik supaya dpt ditatapi anak-cucu masa kini.