Followers

Ahad, 12 Disember 2010

Ketuanan Iman vs Ketuanan Bangsa

Ust. Pahrol Mohd Juoi

'KETUANAN' IMAN

Dilema perjuangan Melayu atau Islam...
Satu prajudis atau kenyataan?
Satu realiti atau ilusi?
Mari kita bicarakannya lewat puisi
Berwacana di persada kata nan indah
Merangkai minda disulaman madah
Agar bahangnya tidak begitu menyerlah
Agar dapat segalanya direnungi...
Tanpa emosi berapi-api!

Pertama mari kita fikirkan...
Agama kita sama, syahadah kita serupa
Tapi mengapa mesti berpecah?


Kedua mari kita renungkan
Bangsa kita sama, darah kita serupa
Tapi mengapa mesti bertelagah?
Darah dan syahadah boleh terpisah?

Justeru sepatutnya dengan keduanya
Lebih mudah menyatukan kita
Kerana agama dan bangsa kita sama
Akidah kita Islam, kabilah kita Melayu...
Tapi kenapa sukar untuk bersatu?

Dalam realitinya sungguh berbeza
Agama didakwa punca sengketa
Cintakan Islam telah dipolitikkan
Kononnya demi kepentingan kuasa dan kedudukan...
Islam disinonimkan dengan parti
Wajarkah begitu?

Cintakan bangsa turut dipersalah
Kasihkan watan dituduh asabiah
Melayu dan Islam bagai bertentangan
Keduanya saling berkonflik
Islam menggugat semangat patriotik
Benarkah begitu?

Cintakan agama atau bangsa?
Seolah-olah satu dilema
satu ke Timur satu ke Barat
Tak mungkin tersatu dalam muafakat
Benarkah itu satu hakikat
Atau itu hanya satu muslihat?
Lain tersirat lain tersurat?

Cubalah kita ungkai segala yang kusut
Berbicara secara tulus dan telus
Merujuk ke dasar, menyelam ke akar
Putuskan rantai kepartian...
Yang membelenggu mata dan fikiran
Putuskan sentimen ketaksuban...
Yang mengaburi fakta dan kenyataan
Marilah sama-sama bercerminkan nasib bangsa
Dari jurus misi agama!

Islam agama yang menyatukan
Justeru itulah perintah Tuhan
Apabila manusia sama-sama beriman
Maka bertautlah hati, terbentuklah persaudaraan
Iman dan persaudaraan – lazim berlaziman
Yang paling kuat tauhidnya kepada yang Esa
Dialah yang paling mesra dalam bersaudara
Bila kukuh 'habluminallah' yang vertikal
akan teguhlah 'habluminannas' yang horizontal
Itulah silahturrahim – 'hubungan' intim atas nama Ar Rahim

Bila beriman ertinya yakin
Bila yakin ertinya terikat...
Terikat dengan syariat – peraturan dan hukum Tuhan
Yang wajib ditegakkan
Yang haram ditinggalkan
Yang sunat jika mampu dilaksanakan
Yang makruh jika mampu ditinggalkan
Yang harus – terpulang
Bebas untuk membuat pilihan
Inilah 5 hukum dari Al-Quran
Yang bila semua meyakini dan mengamalkan
Secara otomatik terbentuklah perpaduan
Inilah maksud firman Allah:
"Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (peraturan Tuhan) dan janganlah kamu berpecah-belah."

Melayu juga faktor penyatu
Kerana ikatan darah itu adalah fitrah...
Cintakan bangsa adalah naluri hati
Yang tumbuh secara tabie
Jika bangsa terjajah, jiwa tersiksa...
Bangunlah semangat merdeka dengan darah dan air mata
Jika bangsa mundur, hati terdera...
Bangunlah daya juang dengan minda dan usaha
Ketuanan Melayu di bidang politik dan ekonomi
Adalah nyawa, citra dan identiti

Bangsa yang lemah, akan kalah
Bangsa yang mundur, akan terkubur
Bangsa yang kuat, akan berdaulat
Yang miskin dibela oleh agenda ekonomi
Yang jahil diberi pelajaran dalam Dasar Pelajaran
Kedua-duanya dilaksanakan dengan kuasa politik!
... selagi Melayu menguasai pemerintahan
... selagi "Hak istimewa Melayu' maktub dalam perlembagaan
Selagi itu keduanya dikekalkan
Begitulah yang dipegang sebagai rujukan

Tapi selama mana Melayu dapat menguasai pemerintahan?
Selama mana perlembagaan dapat mempertahankan?
Dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan...
Jika jiwa Melayu sendiri melayu, kering dan berguguran?
Jika hanya berpegangkan semangat bangsa tanpa roh agama
Melayu tidak kukuh iman tak layak menjadi tuan
Bumi ini diwariskan hanya untuk hamba yang beriman
Begitu yang termaktub dalam Al-Quran

Islam dan Melayu boleh diserasikan
Yang satu FITRAH, yang satu HIDAYAH
Cinta bangsa dan agama mampu dipertautkan
Bila membela Melayu yang miskin..
Itu tanggung jawab bangsa dan itu juga tuntutan agama
Membantu Melayu yang bermasalah...
itu adalah fitrah kabilah dan itu juga jihad fisabillah
Lalu... satukanlah fitrah dengan hidayah!

Hanya hamba yang beriman layak menjadi tuan
Jadi pemimpin dengan penuh kerendahan
Memikul amanah penuh keikhlasan
Agama dan bangsa bukan milik organisasi
Justeru bukan semua Muslim dan Melayu dalam satu parti
Ada yang global, ada yang tribal, dan ada yang individual
"Hubbul Watan minal Iman"

Musuh bangsa dan agama cuma satu – dia yang dikuasai nafsu
Lalu awasilah si hamba nafsu yang punya kepentingan diri...
Dalam barisan perjuangan bangsa
Dan saf perjuangan agama!

Hakikatnya dia bukan pejuang bangsa
Dan dia pun bukan mujahid agama...
Hanya pejuang kepentingan diri dengan jubah agama
Hanya pejuang nafsu dengan baju Melayunya!

Tiada ulasan: