Followers

Ahad, 9 Oktober 2011

KENALI MUFTI MELAKA PERTAMA

Nama lengkap ulama besar yang berasal dari Melaka ini ialah Khalil bin Husin bin Wahid. Bondanya bernama Halimah yang digelar orang sebagai Che Tom binti Haji Sulaiman. Tuan Guru Haji Khalil dilahirkan di Kampung Hulu, Bandar Melaka pada tahun 1885.

Dalam usia yang masih kecil iaitu ketika berumur 4 tahun, beliau telah berangkat ke Mekah. Di Tanah Suci, beliau telah didedahkan dengan pengajian halaqah di Masjidil Haram. Pada masa itu. ramai tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu membuka halaqah pengajian di situ. Antaranya ialah seperti Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu), Syeikh Muhammad Nur al-Fathani (tokoh falak) dan Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor.


Salah seorang guru utama Tuan Guru Haji Khalil ialah Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi. Diriwayatkan beliau telah menadah kitab kepada ulama besar Alam Melayu ini selama 12 tahun. Beliau tinggal di Mekah lebih kurang 22 tahun.

Untuk menyara kehidupan ketika berada di Mekah, beliau pernah mengambil upah mengangkat air. Pada tahun 1911, beliau kembali semula ke tanahair. Beliau berkahwin dengan Che Zainab binti Bilal Jazan dan dikurniakan beberapa orang anak.

Menyedari akan keahliannya dalam bidang agama, maka kerajaan Melaka pada ketika itu yang diperintah oleh Gabenor Melaka telah melantik Tuan Guru Haji Khalil menjadi Kadi pada 19 Februari 1918. Usianya pada ketika itu ialah 33 tahun.

Beliau bagaimanapun melepaskan jawatan kadi setahun kemudian iaitu pada 14 November 1919. Empat tahun selepas itu, beliau dilantik menjadi Imam Masjid Kampung Hulu. Tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun 1926, Tuan Guru Haji Khalil dilantik menjadi Mufti Negeri Melaka.

Diriwayatkan beliaulah yang telah mengasaskan Sekolah Agama Masjid Kampung Hulu yang kemudiannya diberi nama Madrasah Al-Aliyah. Pengalaman dan pengetahuan beliau sangat ditagih oleh masyarakat sama ada dalam bidang agama mahupun dalam urusan kemasyarakatan. Sebagai contoh, beliau telah membantu menyelesaikan masalah pembinaan Masjid Kampung Tehel, Jasin pada tahun 1925.


Setelah Majlis Agama Islam Melaka ditubuhkan, Tuan Guru Haji Khalil dilantik menjadi mufti negeri Melaka secara rasmi pada pada bulan April 1960. Pada ketika itu usianya sudah mencecah 75 tahun. Dua bulan selepas itu, Tuan Guru Haji Khalil berpulang ke rahmatullah.

Tuan Guru Haji Khalil sebagai tokoh ulama yang begitu terkenal di seluruh negeri Melaka. Beliau dikenali masyarakat sebagai seorang yang warak, luas ilmunya dan tegas mengenai hukum-hukum agama.

Sepanjang hayatnya, beliau dihormati oleh segenap lapisan masyarakat termasuklah pemerintah British pada ketika itu. Atas jasanya yang begitu besar maka namanya telah diabadikan pada sebatang jalan di Bandaraya Melaka dengan nama Jalan Mufti Haji Khalil. Di jalan tersebut terdapat bangunan utama kerajaan seperti hospital Melaka.

1 ulasan:

Mazlum Syahid berkata...

https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

Web: almawaddah.info

Salam


Kepada:

 

Redaksi, rektor dan para akademik


Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan