Followers

Rabu, 16 Oktober 2013

Perihal Ibadah Korban

PENGERTIAN KORBAN

Bahasa : Nama yang diberikan terhadap apa yang dikorbankan atau apa yang disembelih pada Hari Raya Adha.Dinamakan juga sebagai ‘Udhiyyah’ yang berasal daripada perkataan ‘Dhuha’ iaitu waktu Dhuha, kira-kira antara jam 7.00 hingga 11 pagi, kerana korban disyariatkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan setelah selesai Solat Eidul Adha.

Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada perkataan Al-Udhiyyah dan Ad-Dhahiyyah yang dimaksudkan binatang sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah.

Syarak : Menyembelih haiwan yang tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus (hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulamak.

DALIL-DALIL MENGENAI KORBAN

i. DALIL AL-QURAN

Firman allah;

Maksudnya;

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Maksudnya ;

“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” ( Al-Haj ; 36)

ii. DALIL HADIS MENGENAI KELEBIHAN KORBAN

Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda;

Maksudnya;

“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”

Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”

Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”

Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

(Lihat nas al-Quran Surah al-Haj : 36-37)

iii. DALIL IJMA’ ULAMAK

Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Surah As-Soffaat : ayat 107)

HUKUM IBADAH KORBAN

Sebahagian ulama berpendapat bahawa korban itu hukumnya wajib, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai sunnah.

Alasan yang mengatakan amalan korban itu adalah wajib berdasarkan firman Allah;

Maksudnya;

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Sabda Rasulullah SAW;

Maksudnya;

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan korban adalah suatu amalan sunnah adalah berpandukan hadis Nabi SAW;

Maksudnya;

“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyatakan;

Maksudnya;

“ Diwajibkan ke atasku supaya berkorban dan tidak diwajibkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Dar al-Qutniy)

Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya.

Terdapat sat Athar sahabat (hadis mengenai sahabat Nabi) bahawa Abu bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah korban, sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu, maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir sekiranya mereka berkorban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka. (Hadis riwayat Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berta daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).

Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;

“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)

Sehubungan denga itu, ibadah korban dikira sama ada Sunnah Muakkadah atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban.

Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya adalah ‘Sunnah muakkadah’ iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berkorban dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berkorban.

Namun begitu kebanyakan ulamak berpendapat ibadah korban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya. Jika dia tidak berkorban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah bahawa nabi terlah berkorban bagi pihak umatnya.

Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.

HIKMAH DI SEBALIK PENSYARIATAN IBADAH KORBAN

1. Mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang digelar sebagai ‘Abu al-Anbiyak’ (bapa para nabi) yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT, namun begitu Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Selain daripada itu sebagai mengenang dan mencontohi pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan dirinya bagi mematuhi dan mentaati perintah Allah Azza wa Jalla.

2. Sebagai satu ibadah yang boleh mendekatkan seoarang hamba dengan Tuhannya, melalui bukti pengorbanan yang dilakukan. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesedian hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang ytercinta. Di samping itu melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah.

3. Melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.

4. Memulia serta mengagongkan satu syiar dari syiar-syiar agama Allah sebagai memenuhi tuntutan Allah;

Maksudnya;

“Demikianlah perintah Allah dan barangsiapa yang mengagongkan syiar-syiar agama Allah, maka (perbuatan) itu timbul dari ketaqwaan hati.”

(Surah al-Haj : ayat 32)

5. Untuk melahirkan rasa syukur di atas segala nikmat Allah yang terlalu banyak ke atas diri kita dan yang masih menghidupkan kita.

6. Sebagai penghapus kepada segala kesalahan dan dosa yang kita lakukan, sama ada melakukan kemungkaran dan maksiat atau mengabaikan suruhan Allah.

7. Untuk memberikan kegemberiaan kepada keluarga yang melakukan korban dan orang-orang lain yang mendapat bahagian daripada daging korban tersebut, di mana mereka dibenarkan untuk memakan, mensedekahkan atau menyimpan daging tersebut untuk dimakan dalam jangka masa yang lama.

8. Sentiasa mengingatkan kita, bahawa hidup ini amat memerlukan kepada pengorbanan, untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan yang hakiki dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Tanpa pengorbanan, tiada nilainya sebarang usaha yang kita lakukan.

Tiada ulasan: