KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mencontohi keunggulan peribadi Rasulullah SAW dalam melaksanakan perintah Allah SWT ke arah melahirkan sebuah masyarakat Islam yang unggul serta menjadi contoh teladan kepada dunia, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Titah baginda, perjuangan Rasulullah telah berjaya membina kekuatan mental dan fizikal umat Islam sehingga mampu mencipta satu tamadun yang gemilang di mata dunia. Seluruh umat Islam, titah baginda, perlu menyedari bahawa Allah SWT telah menganugerahkan potensi kecemerlangan dalam setiap diri insan. "Umat Islam sebagai hambanya bertanggungjawab untuk mengembangkan potensi kecemerlangan ini melalui akal yang telah dikurniakan Allah. Hanya melalui akal yang cerdas, insan mampu menerokai ilmu dan seterusnya berupaya membimbing masyarakat ke arah kegemilangan. "Tema Maulidur-Rasul tahun ini 'Menjana Ummah Gemilang' amat bertepatan dengan situasi kehidupan umat Islam hari ini yang mana ia sentiasa mengalami perubahan," titah Seri Paduka semasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Stadium Utama Bukit Jalil di sini hari ini. Turut berangkat hadir ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta para menteri Kabinet juga hadir. Titah Seri Paduka, konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah merupakan perkara asas yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global tanpa menyisihkan nilai-nilai ukhrawi dan duniawi. "Beta yakin dengan panduan kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah, seluruh umat Islam di Malaysia mampu meneroka bidang sains dan teknologi dengan lebih jauh lagi. "Dengan ini, umat Islam akan mampu membina kekuatan dan pengaruh di kalangan seluruh masyarakat dunia," titah baginda. Tuanku Mizan juga berharap umat Islam di negara ini memahami dan menzahirkan panduan dan pengajaran yang telah diturunkan oleh Allah melalui kitab suci al-Quran. Titah baginda, panduan dan pengajaran ini perlu dijadikan tunggak bagi memupuk semangat persaudaraan sesama Islam dan bukan Islam. "Beta juga menyeru seluruh umat Islam supaya sama-sama berusaha serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya untuk mencapai kegemilangan ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan. Insya-Allah dengan usaha yang gigih kita akan mendapat kejayaan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat," titah baginda. Di KUANTAN, seramai 3,000 umat Islam menyertai sambutan peringkat negeri yang dihadiri oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini. Ketika bertitah di majlis itu, baginda menyeru umat Islam supaya terus bangkit dengan meningkatkan kerja, usaha dan komitmen untuk kembali menjana ummah gemilang. Titah baginda, sudah tiba masanya umat Islam tidak sekadar menjadi pemerhati kepada kegemilangan bangsa lain, tetapi menjalankan tanggungjawab mereka untuk bergerak seiring dengan mereka yang maju. "Saya juga menyeru semua pemimpin negeri, jabatan kerajaan dan swasta dan seterusnya masyarakat sekalian supaya memulakan agenda kerja untuk kita kembali jana ummah gemilang," titah baginda. Turut hadir Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri Datin Seri Junaini Kassim. Tengku Abdullah turut menasihati parti-parti politik dan wakil rakyat supaya menumpukan kepada agenda kegemilangan ummah. "Kita mesti tetapkan tekad untuk pastikan Islam menjadi generasi berilmu, bertaqwa kerana ia tidak terbina sendiri sekiranya kita hanya berpeluk tubuh dan berharap pada orang lain," titah baginda. Di SELANGOR, 110 kontinjen yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan institusi kerajaan dan bukan kerajaan berarak sejauh dua kilometer mulai jam 8.15 pagi dari Stadium Mini Shah Alam sehingga ke Stadium Malawati di mana upacara perasmian sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah, diadakan. Selain daripada bacaan ayat al-Quran dan juga ceramah agama, majlis yang bermula pada jam 9.30 pagi itu juga diserikan dengan persembahan nasyid dan penyanyi Ramli Sarip yang membawakan lagu bermesej ketuhanan dan kemanusiaan. Sultan Selangor juga berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Negeri 2008 kepada tiga orang penerima, iaitu Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jamaludin Ismail, 56; Pengerusi Jawatankuasa Kempen & Latihan Sukarelawan AMAN Palestin, Hashimah Salleh, 50 dan Pengetua Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Klang Utama, Puan Sanam Kaur a/p Sarjeet Singh. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan