Followers

Khamis, 20 Mac 2008

Penghayatan al-Quran ke arah membasmi gejala sosial

PERMASALAHAN sosial yang melanda remaja hari ini adalah merupakan satu isu yang telah banyak diperkatakan, di mana pelbagai pendekatan telah diambil untuk menangani masalah ini dari terus merebak di kalangan remaja kita.Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah remaja hari ini adalah merupakan bakal pemimpin di masa depan, dan oleh yang demikian, masalah sosial di kalangan mereka sudah seharusnya diberi keutamaan untuk diselesaikan.Walaupun pelbagai pendekatan dikatakan mampu menangani masalah ini, namun tidak dapat kita nafikan bahawa satu pendekatan yang paling baik dan berkesan adalah menerusi pendekatan agama.Hakikat bahawa pegangan agama yang utuh mampu mengelakkan anak-anak kita dari terjebak dalam kancah gejala sosial sememangnya diakui ramai, termasuklah di kalangan golongan pendidik.Salah satu cara yang dilihat mampu menanamkan pegangan agama yang kental di sanubari anak-anak adalah menerusi al-Quran. Ini bukan setakat membaca semata-mata tetapi lebih kepada pemahaman dan penhayatan segala apa yang terkandung dalam kitab suci tersebut.Mungkinkah segala permasalahan sosial yang kita saksikan hari ini adalah berpunca dari hakikat bahawa semakin ramai anak-anak kita yang sudah tidak mendekati al-Quran? Mungkinkah segala permasalahan ini berpunca dari penghayatan al-Quran yang semakin longgar?Yang pastinya, penyelesaian yang dicari tidak mungkin akan dapat ditemui sekiranya kita hanya setakat mencari sebab-musababnya tanpa melakukan sesuatu yang proaktif bagi mengatasi masalah tersebut.Hakikat inilah yang telah mendorong Kerajaan Negeri Melaka untuk melihat kepada kemungkinan untuk semua kanak-kanak Islam di negeri ini khatam al-Quran selewat-lewatnya ketika dalam Darjah Enam, iaitu ketika berusia 12 tahun.Inilah satu perancangan yang telah disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ketika merasmikan bangunan tambahan SAR Jaim di Pengkalan Minyak baru-baru ini.Walaupun masih di peringkat perancangan, namun tidak dapat dinafikan bahawa cadangan ini adalah merupakan satu pendekatan yang cukup baik untuk membudayakan pembacaan dan penghayatan al-Quran di kalangan anak-anak kita.Sebagaimana yang dikatakan Ketua Menteri, pendidikan agama serta penghayatan al-Quran yang kurang mantap adalah salah satu faktor penyebab dalam keruntuhan akhlak remaja hari ini."Dengan langkah ini, adalah diharapkan yang kita akan dapat menerapkan nilai-nilai mulia di sanubari anak-anak kita supaya Melaka akan menjadi sebuah negeri yang sifar gejala sosial satu hari nanti," beliau dilaporkan sebagai berkata.Anak-anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih dan kitalah yang bertanggungjawab dalam mencorak mereka. Ini turut diperkukuhkan dengan pepatah Melayu yang berbunyi 'melentur buluh biarlah dari rebungnya.'Kitab suci al-Quran merupakan satu panduan serta pedoman untuk setiap umat manusia sehingga akhir zaman di mana penghayatan al-Quran yang kukuh akan memastikan kejayaan seseorang, bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 9 yang bermaksud :"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar."Seorang penceramah bebas, Abdul Rahman Isa, 64, turut bersetuju dengan pandangan bahawa penghayatan al-Quran yang kurang utuh adalah penyebab kepada pelbagai masalah sosial yang melanda remaja hari ini.Menurutnya, sekiranya seseorang itu benar-benar menghayati apa yang terkandung di dalam al-Quran, maka beliau pasti akan tahu apa yang boleh dilakukan dan apa pula yang sebaliknya."Ramai yang hanya membaca (al-Quran) tetapi kelakuan seharian mereka bertentangan dengan ajaran al-Quran. Mereka tidak menghayati tuntutannya. Mereka faham isi kandungannya tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya."Al-Quran itu bukan saja kaya dengan panduan dan pedoman, tetapi juga bermacam kelebihan, termasuklah bermacam jenis penawar, untuk mereka yang beriman dengannya. Seseorang yang benar-benar menghayati al-Quran pasti tidak akan sesat dan akan beroleh kesejahteraan dan keselamatan," katanya.Menurut Abdul Rahman lagi, apa jua usaha untuk membudayakan al-Quran, sama ada oleh pihak kerajaan atau pihak-pihak lain, perlulah diberi sokongan kerana semua ini adalah untuk kesejahteraan ummah."Adalah diharapkan tiada pihak yang akan mempolitikkan cadangan ini (cadangan Ketua Menteri) kerana ianya adalah untuk kebaikan bersama," tambah beliau.Kesimpulannya, penghayatan al-Quran akan dapat membina kualiti pembangunan modal insan selain dapat menyumbang kepada pembentukan ummah yang lebih cemerlang. Dan dalam konteks para remaja pula, ia akan menjadi ibarat benteng kukuh yang akan melindungi mereka dari godaan hawa nafsu yang sekiranya tidak dikekang akan menyebabkan mereka terlontar ke lembah kehinaan.

Tiada ulasan: