Followers

Selasa, 14 Julai 2009

KEPIMPINAN ISLAM

Salah satu daripada elemen penting dalam kehidupan seorang manusia adalah memimpin. Bila kita mampu memimpin diri kita ke arah syakhsiah cemerlang maka ia merupakan kejayaan bagi kita. Di samping itu, kita mesti memimpin diri orang lain agar kehidupan kita bersama manusia lain di dunia ini dapat diseimbangkan ke arah generasi Al-Quran. Setiap manusia di muka bumi ini dijadikan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah. Sama ada dia memimpin diri sendiri atau orang lain, ia dinamakan sebagai khalifah.



Ayat di atas jelas menunjukan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita sebagai khalifah atau pemimpin. Namun begitu, tidak semua mampu mentadbir dirinya dan orang lain dengan baik mengikut landasan Islam yang sebenarnya. Dunia akan kucar-kacir jika semua manusia mahu menjadi pemimpin dan enggan menjadi orang yang dipimpin atau lebih dikenali sebagai "orang bawahan". Oleh kerana itu, Allah SWT dengan sifat bijaksananya telah mengatur dan menentukan kehidupan manusia mengikut acuan keperibadian yang asal sejak dari azali lagi. Ada segolongan manusia yang dilantik menjadi pemimpin, golongan lain sebagai yang dipimpin dan golongan yang mengadu-domba enggan menjadi pemimpin dan enggan dipimpin.



Persediaan Sebelum Menjadi Pemimpin
Perkara utama yang perlu ditekankan sebelum melangkah memikul jawatan pemimpin ialah persediaan kita sebelum menjawatnya supaya terlaksana proses pembentukan Syahsiah Berakidah di kalangan orang bawahan.Kita wajib membuat persediaan awal di samping menempuh berbagai ujian sebelum layak digelar Pemimpin Dunia Dan Akhirat. Dalam dunia menuju ke gerbang akhir zaman, majoriti pemimpin dewasa ini sebenarnya tidak layak memimpin lantaran diri mereka sendiri tidak terpimpin dengan pimpinan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka merupakan Pemimpin Dunia semata, mengejar kemewahan dunia, menindas orang bawahan, bertopengkan syaitan dalam menentukan hukum-hakam Islam dan seribu satu macam keburukan berupa keduniaan. Benar sabda Rasulullah s.a.w:-

Di sini jelas menunjukan bahawa pemimpin yang zalim termasuk di dalam keburukan agama. Sedangkan pemimpin akhirat tidak ramai dan boleh dikira dengan jari.

Terdapat banyak syarat yang menyumbang ke arah melahirkan seorang pemimpin dunia dan akhirat. Untuk memenuhi syarat-syarat ini ramai yang tewas dan kecundang kecuali beberapa orang yang sememangnya telah dipilih oleh hakim yang agung iaitu Allah S.W.T.

1) Pemimpin Berilmu
Ilmu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pemimpin yang unggul. Tanpa ilmu, pemimpin akan menjadi "lembu dicucuk hidung", hanya memimpin setelah diarah-arahkan oleh orang lain. Berapa ramai Perdana Menteri di serata dunia yang menjadi boneka. Menjadi pemimpin tetapi tidak memimpin. Warisan ilmu pengecut yang dimiliki oleh oleh para pemimpin menyebabkan mereka rela menjual maruah agama demi sesuap nasi?. Maksud firman Allah SWT: "Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?". Ilmu di sini merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Seorang pemimpin yang berilmu pasti mendapat kepercayaan masyarakat untuk menangani sebarang masalah yang menimpa negara berbanding pemimpin yang tidak berilmu. Ini adalah satu hakikat yang nyata. Kedunguan pemimpin-pemimpin masa kini dalam menyelesaikan masalah dalam negara menyaksikan campur tangan kuasa asing yang sewenang-wenangnya mengubah dasar negara hatta undang-undang sama ada peraturan negara atau agama.

Untuk mengubah situasi yang telah menjadi adat ini, negara kecil seperti Malaysia contohnya harus meletakkan pemimpin yang bijak dan berilmu untuk menerajui negara supaya negara kita nanti tidak "sekandang dengan lembu-lembu yang dicucuk hidung sejak sekian lama."

2) Pemimpin Sebagai Idola Dan Pentazkirah
Di kalangan masyarakat pertengahan, mereka lebih mementingkan seorang pemimpin yang peka dengan isu-isu dunia dan bijak bercakap hal-hal keduniaan.Tanpa disedari, kita sepatutnya "dahagakan"seorang pemimpin yang bersifat universal. Seimbang antara dunia dan akhirat. Contoh tanpa bandingan tapi patut dijadikan ikutan, Rasulullah SAW mampu menjadi pemimpin dalam masa yang sama berada di tempat yang teratas dalam pemikiran dan penampilannya kepada masyarakat dan yang paling utama kepada Penciptanya. Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak langkahnya oleh masyarakat bawahan.

Sebagai seorang pemimpin yang menjadi idola kepada masyarakat, pemimpin seharusnya memiliki akhlak yang terpuji mengikut adab-adab kemanusiaan sejagat dan lunas-lunas islami yang tulin. Ciri-ciri pentazkirah pun harus ada pada seorang ketua bahkan ciri-ciri seorang ulama'.

Bijak bercakap tidak semestinya boleh melakukannya secara praktikal. Oleh itu, di samping bijak 'berbahasa'dan pandai 'mentazkirah' orang lain, pemimpin harus mengamalkan apa yang dikata. Seperti kata-kata 'cakap serupa bikin'.

Contoh melalui tauladan lebih merujuk kepada keperibadian seorang pemimpin dalam membentuk masyarakat pimpinannya. Jika elok acuan maka eloklah kuihnya, jika rosak acuan kuih maka tidak terbentuklah kuih seperti yang diingini.

3) Sanggup Menghadapi Tribulasi Untuk Mencapai Matlamat
Ujian adalah satu perkara tabi'i yang pasti 'memburu' kehidupan seorang manusia. Semakin tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t. dan di sisi masyarakat, maka semakin besar cubaan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi. Berjaya atau gagal menghadapi mehnah perjuangan ditentukan oleh kekuatan asas yang terpasak dalam diri seseorang. Mereka yang lemah dari sudut material dan rohani terutamanya pasti akan tewas dengan mudah dan jatuh tersungkur di tengah-tengah medan perjuangan. Hanya pemimpin yang mempunyai kekuatan jiwa dan semangat sahaja yang tetap kekal dengan matlamat yang satu walaupun tanpa kekuatan material. "Demi sesungguh-Nya akan Kami uji kamu dengan satu cubaan, iaitu kekuatan, kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira bagi orang-orang yang sabar atas cubaan itu".Al-Baqarah ayat 155.

Seperti yang telah dinyatakan, setiap manusia akan diuji. Tatkala Malaysia diuji dengan kejatuhan nilai RM, kita turut juga teruji. Bagi yang di luar kemampuan (kekurangan harta), pulang ke tanah air adalah langkah terakhir sebagai jalan penyelesain tanpa menamatkan pengajian tentunya.

Kita juga diuji dengan rasa ketakutan hidup di negara asing. Ketakutan yang menghantui akhawat maupun ikhwah. Azhari/ah adalah pemimpin yang bakal mencorak sebuah keluarga Islami. Di peringkat awal lagi Azhari/ah telah diuji. Belum lagi masuk ke medan masyarakat....medan politik dan umpamanya. Dasar demokrasi pilihan masyarakat majoriti sebagai pilihan yang akan diangkat sebagai pemimpin. Di serata dunia menyaksikan parti islam atau separa islami telah diuji dengan kekurangan manusia atau dikenali sebagai kekurangan 'pengundi'. Seorang pemimpin Islam yang kuat, pasti menghadapi krisis kekurangan penyokong yang bijaksana, manakala pemimpin Islam yang 'hangat-hangat tahi ayam' akan "gulung tikar" sebelum pilihanraya lagi.

Ketiga-tiga faktor di atas bakal melayakkan kita menerajui negara bahkan dunia. Tidak mustahil suatu hari nanti kita bakal menjadi polis dunia menggantikan Amerika yang mengaku berjaya memimpin dunia ke arah keamanan tetapi sebenarnya ke arah kemusnahan. Pemimpin dunia abad akan datang wajar diwarisi oleh pemimpin islam untuk 'meneutralkan' dunia sebelum menjadi padang jarak padang terkukur. Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu untuk mencipta seorang pemimpin Islam yang tulin sebagaimana yang pernah diciptakan oleh ulama'-ulama' yang terdahulu.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: