Alat tasbih yang berupa biji-biji tasbih yang diikat dengan seutas benang telah lama digunakan oleh umat Islam. Bahkan penggunaan alat, seperti biji-biji kurma, kerikil, simpulan benang telah digunakan oleh beberapa sahabat dan diketahui oleh Junjungan s.a.w. tanpa protes baginda. Oleh itu ulama kita menyatakan bahawa penggunaan alat untuk menghitung tasbih dan lain-lain bacaan atau wirid adalah sunnah taqririyyah Junjungan s.a.w.
Penggunaan alat tasbih kemudian dipopularkan oleh ramai ulama yang menjadi sandaran kita. Cuma di masa ini baru terdengar kelompok yang anti kepada penggunaannya sehingga tergamak menyamakan tasbih umat yang mentauhidkan Allah dengan amalan puak Kristian atau alat sembahyang orang Buddha. Ayam sembelih dengan ayam tak sembelih sama ke ? Jangan nak disamakan yang halal dengan yang haram. Antara ulama besar yang menggunakan tasbih ialah Imam al-Haddad atau nama penuhnya Quthubud Dakwah wal Irsyad Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad al-Haddad. Tasbih yang digunakannya, kalau zaman kita ini atau di tempat kita dah kena hukum melampau atau pelik, kerana bijiannya besar dan berjumlah 1000 biji.
Sampai sekarang tasbih yang berkat ini masih tersimpan dengan baik di masjidnya di al-Hawi, Hadhramaut Antara ulama kita yang menjelaskan persoalan menggunakan alat tasbih ialah Imam as-Sayuthi dan Imam Ibnu 'Allan ash-Shiddiqi asy-Syafi`i al-Asy`ari al-Makki yang ada menulis kitab khususnya mengenai hal ini yang diberi judul "Iqad al-Masabih li Masyru`iyyah Ittikhadz al-Masabih" (Menyalakan Pelita bagi menjelaskan pensyariatan berzikir dengan alat tasbih).
Dalam kitabnya yang masyhur "al-Futuhatur Rabbaniyyah", Ibnu 'Allan antara lain menyatakan:-•Dalam hadits Sa`ad yang lalu, dan ini merupakan dasar yang sahih dalam membolehkan menghitung zikir dengan alat tasbih dengan taqrir daripada Junjungan Nabi s.a.w., kerana alat tasbih itu dalam pengertiannya sama sahaja dengan biji-biji kurma atau kerikil kerana tidak ada perbedaan antara yang tersusun dengan yang bercerai-cerai(yakni alat tasbih disusun dengan diikat benang dan biji-biji atau kerikil tadi tidak).
DAN TIDAK USAH DIHIRAUKAN ORANG YANG MENGATAKAN IANYA BID`AH. Telah berkata para masyaikh bahawa alat tasbih itu cambuk/cemeti syaitan ( untuk menghalau syaitan kerana ianya digunakan untuk berzikir dan kita tahu bahawa syaitan tak suka dan akan lari dari orang yang berzikir).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan