Followers

Selasa, 28 Julai 2009

MAJLIS TAHLIL ARWAH SEMPENA MENYAMBUT

RAMADHAN AL MUBARAK 1430H

ANJURAN SURAU UMRI

Semua ahli qariah kampong Serkam yang ada kelapangan sila lah

datang ke surau UMRI untuk majlis berkenaan seperti ketetapan berikut:


 

TARIKH : 16HB OGOG 2009 (AHAD)

MASA : Lepas Solat Zuhor

Jamuan tengahari akan disediakan.


 


 

Selasa, 14 Julai 2009

RAWATAN ALTERNATIF (PERUBATAN ISLAM – DOA& ZIKIR)

TEMPAT     : MARKAZ PAS CAWANGAN SERKAM MELAKA

HARI          : AHAD (MINGGU PERTAMA & KETIGA SETIAP BULAN)

MASA          : 9.30 PAGI HINGGA 4.00 PETANG

PERAWAT     : IJAZAH PERUBATAN ISLAM

         OLEH YANG BERBAHAGIA UST.DATO' ISMAIL KAMUS

HUBUNGI     : 019 6570720 (ABDUL HALIM)

         0196664262 (ABDUL SYUKUR)

Pengertian Akhlak

Akhlak dari segi bahasa : berasal daripada perkataan 'khulq' yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Maksud ni terkandung dalam kata-kata Aisyah berkaitan akhlak Rasulullah saw yang bermaksud : "Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran." Akhlak Rasulullah yang dimaksudkan di dalam kata-kata di atas ialah kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku Rasulullah saw yang semuanya merupakan pelaksanaan ajaran al-Quran.

Akhlak dari segi istilah : Menurut Imam al-Ghazali, "Akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu."

Menurut Ibnu Maskawih, "Akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa pertimbangan akal fikiran terlebih dahulu."

Menurut Profesor Dr Ahmad Amin, "Akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan."

Daripada definisi tersebut dapat kita fahami bahawa akhlak merupakan suatu perlakuan yang tetap sifatnya di dalam jiwa seseorang yang tidak memerlukan daya pemikiran di dalam melakukan sesuatu tindakan.

 
 

KEPIMPINAN ISLAM

Salah satu daripada elemen penting dalam kehidupan seorang manusia adalah memimpin. Bila kita mampu memimpin diri kita ke arah syakhsiah cemerlang maka ia merupakan kejayaan bagi kita. Di samping itu, kita mesti memimpin diri orang lain agar kehidupan kita bersama manusia lain di dunia ini dapat diseimbangkan ke arah generasi Al-Quran. Setiap manusia di muka bumi ini dijadikan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah. Sama ada dia memimpin diri sendiri atau orang lain, ia dinamakan sebagai khalifah.



Ayat di atas jelas menunjukan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita sebagai khalifah atau pemimpin. Namun begitu, tidak semua mampu mentadbir dirinya dan orang lain dengan baik mengikut landasan Islam yang sebenarnya. Dunia akan kucar-kacir jika semua manusia mahu menjadi pemimpin dan enggan menjadi orang yang dipimpin atau lebih dikenali sebagai "orang bawahan". Oleh kerana itu, Allah SWT dengan sifat bijaksananya telah mengatur dan menentukan kehidupan manusia mengikut acuan keperibadian yang asal sejak dari azali lagi. Ada segolongan manusia yang dilantik menjadi pemimpin, golongan lain sebagai yang dipimpin dan golongan yang mengadu-domba enggan menjadi pemimpin dan enggan dipimpin.



Persediaan Sebelum Menjadi Pemimpin
Perkara utama yang perlu ditekankan sebelum melangkah memikul jawatan pemimpin ialah persediaan kita sebelum menjawatnya supaya terlaksana proses pembentukan Syahsiah Berakidah di kalangan orang bawahan.Kita wajib membuat persediaan awal di samping menempuh berbagai ujian sebelum layak digelar Pemimpin Dunia Dan Akhirat. Dalam dunia menuju ke gerbang akhir zaman, majoriti pemimpin dewasa ini sebenarnya tidak layak memimpin lantaran diri mereka sendiri tidak terpimpin dengan pimpinan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka merupakan Pemimpin Dunia semata, mengejar kemewahan dunia, menindas orang bawahan, bertopengkan syaitan dalam menentukan hukum-hakam Islam dan seribu satu macam keburukan berupa keduniaan. Benar sabda Rasulullah s.a.w:-

Di sini jelas menunjukan bahawa pemimpin yang zalim termasuk di dalam keburukan agama. Sedangkan pemimpin akhirat tidak ramai dan boleh dikira dengan jari.

Terdapat banyak syarat yang menyumbang ke arah melahirkan seorang pemimpin dunia dan akhirat. Untuk memenuhi syarat-syarat ini ramai yang tewas dan kecundang kecuali beberapa orang yang sememangnya telah dipilih oleh hakim yang agung iaitu Allah S.W.T.

1) Pemimpin Berilmu
Ilmu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pemimpin yang unggul. Tanpa ilmu, pemimpin akan menjadi "lembu dicucuk hidung", hanya memimpin setelah diarah-arahkan oleh orang lain. Berapa ramai Perdana Menteri di serata dunia yang menjadi boneka. Menjadi pemimpin tetapi tidak memimpin. Warisan ilmu pengecut yang dimiliki oleh oleh para pemimpin menyebabkan mereka rela menjual maruah agama demi sesuap nasi?. Maksud firman Allah SWT: "Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?". Ilmu di sini merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Seorang pemimpin yang berilmu pasti mendapat kepercayaan masyarakat untuk menangani sebarang masalah yang menimpa negara berbanding pemimpin yang tidak berilmu. Ini adalah satu hakikat yang nyata. Kedunguan pemimpin-pemimpin masa kini dalam menyelesaikan masalah dalam negara menyaksikan campur tangan kuasa asing yang sewenang-wenangnya mengubah dasar negara hatta undang-undang sama ada peraturan negara atau agama.

Untuk mengubah situasi yang telah menjadi adat ini, negara kecil seperti Malaysia contohnya harus meletakkan pemimpin yang bijak dan berilmu untuk menerajui negara supaya negara kita nanti tidak "sekandang dengan lembu-lembu yang dicucuk hidung sejak sekian lama."

2) Pemimpin Sebagai Idola Dan Pentazkirah
Di kalangan masyarakat pertengahan, mereka lebih mementingkan seorang pemimpin yang peka dengan isu-isu dunia dan bijak bercakap hal-hal keduniaan.Tanpa disedari, kita sepatutnya "dahagakan"seorang pemimpin yang bersifat universal. Seimbang antara dunia dan akhirat. Contoh tanpa bandingan tapi patut dijadikan ikutan, Rasulullah SAW mampu menjadi pemimpin dalam masa yang sama berada di tempat yang teratas dalam pemikiran dan penampilannya kepada masyarakat dan yang paling utama kepada Penciptanya. Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak langkahnya oleh masyarakat bawahan.

Sebagai seorang pemimpin yang menjadi idola kepada masyarakat, pemimpin seharusnya memiliki akhlak yang terpuji mengikut adab-adab kemanusiaan sejagat dan lunas-lunas islami yang tulin. Ciri-ciri pentazkirah pun harus ada pada seorang ketua bahkan ciri-ciri seorang ulama'.

Bijak bercakap tidak semestinya boleh melakukannya secara praktikal. Oleh itu, di samping bijak 'berbahasa'dan pandai 'mentazkirah' orang lain, pemimpin harus mengamalkan apa yang dikata. Seperti kata-kata 'cakap serupa bikin'.

Contoh melalui tauladan lebih merujuk kepada keperibadian seorang pemimpin dalam membentuk masyarakat pimpinannya. Jika elok acuan maka eloklah kuihnya, jika rosak acuan kuih maka tidak terbentuklah kuih seperti yang diingini.

3) Sanggup Menghadapi Tribulasi Untuk Mencapai Matlamat
Ujian adalah satu perkara tabi'i yang pasti 'memburu' kehidupan seorang manusia. Semakin tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t. dan di sisi masyarakat, maka semakin besar cubaan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi. Berjaya atau gagal menghadapi mehnah perjuangan ditentukan oleh kekuatan asas yang terpasak dalam diri seseorang. Mereka yang lemah dari sudut material dan rohani terutamanya pasti akan tewas dengan mudah dan jatuh tersungkur di tengah-tengah medan perjuangan. Hanya pemimpin yang mempunyai kekuatan jiwa dan semangat sahaja yang tetap kekal dengan matlamat yang satu walaupun tanpa kekuatan material. "Demi sesungguh-Nya akan Kami uji kamu dengan satu cubaan, iaitu kekuatan, kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira bagi orang-orang yang sabar atas cubaan itu".Al-Baqarah ayat 155.

Seperti yang telah dinyatakan, setiap manusia akan diuji. Tatkala Malaysia diuji dengan kejatuhan nilai RM, kita turut juga teruji. Bagi yang di luar kemampuan (kekurangan harta), pulang ke tanah air adalah langkah terakhir sebagai jalan penyelesain tanpa menamatkan pengajian tentunya.

Kita juga diuji dengan rasa ketakutan hidup di negara asing. Ketakutan yang menghantui akhawat maupun ikhwah. Azhari/ah adalah pemimpin yang bakal mencorak sebuah keluarga Islami. Di peringkat awal lagi Azhari/ah telah diuji. Belum lagi masuk ke medan masyarakat....medan politik dan umpamanya. Dasar demokrasi pilihan masyarakat majoriti sebagai pilihan yang akan diangkat sebagai pemimpin. Di serata dunia menyaksikan parti islam atau separa islami telah diuji dengan kekurangan manusia atau dikenali sebagai kekurangan 'pengundi'. Seorang pemimpin Islam yang kuat, pasti menghadapi krisis kekurangan penyokong yang bijaksana, manakala pemimpin Islam yang 'hangat-hangat tahi ayam' akan "gulung tikar" sebelum pilihanraya lagi.

Ketiga-tiga faktor di atas bakal melayakkan kita menerajui negara bahkan dunia. Tidak mustahil suatu hari nanti kita bakal menjadi polis dunia menggantikan Amerika yang mengaku berjaya memimpin dunia ke arah keamanan tetapi sebenarnya ke arah kemusnahan. Pemimpin dunia abad akan datang wajar diwarisi oleh pemimpin islam untuk 'meneutralkan' dunia sebelum menjadi padang jarak padang terkukur. Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu untuk mencipta seorang pemimpin Islam yang tulin sebagaimana yang pernah diciptakan oleh ulama'-ulama' yang terdahulu.

Wallahu a'lam.

Selasa, 7 Julai 2009

MENGHITUNG BIJI TASBIH


Alat tasbih yang berupa biji-biji tasbih yang diikat dengan seutas benang telah lama digunakan oleh umat Islam. Bahkan penggunaan alat, seperti biji-biji kurma, kerikil, simpulan benang telah digunakan oleh beberapa sahabat dan diketahui oleh Junjungan s.a.w. tanpa protes baginda. Oleh itu ulama kita menyatakan bahawa penggunaan alat untuk menghitung tasbih dan lain-lain bacaan atau wirid adalah sunnah taqririyyah Junjungan s.a.w.


Penggunaan alat tasbih kemudian dipopularkan oleh ramai ulama yang menjadi sandaran kita. Cuma di masa ini baru terdengar kelompok yang anti kepada penggunaannya sehingga tergamak menyamakan tasbih umat yang mentauhidkan Allah dengan amalan puak Kristian atau alat sembahyang orang Buddha. Ayam sembelih dengan ayam tak sembelih sama ke ? Jangan nak disamakan yang halal dengan yang haram. Antara ulama besar yang menggunakan tasbih ialah Imam al-Haddad atau nama penuhnya Quthubud Dakwah wal Irsyad Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad al-Haddad. Tasbih yang digunakannya, kalau zaman kita ini atau di tempat kita dah kena hukum melampau atau pelik, kerana bijiannya besar dan berjumlah 1000 biji.

Sampai sekarang tasbih yang berkat ini masih tersimpan dengan baik di masjidnya di al-Hawi, Hadhramaut Antara ulama kita yang menjelaskan persoalan menggunakan alat tasbih ialah Imam as-Sayuthi dan Imam Ibnu 'Allan ash-Shiddiqi asy-Syafi`i al-Asy`ari al-Makki yang ada menulis kitab khususnya mengenai hal ini yang diberi judul "Iqad al-Masabih li Masyru`iyyah Ittikhadz al-Masabih" (Menyalakan Pelita bagi menjelaskan pensyariatan berzikir dengan alat tasbih).


Dalam kitabnya yang masyhur "al-Futuhatur Rabbaniyyah", Ibnu 'Allan antara lain menyatakan:-•Dalam hadits Sa`ad yang lalu, dan ini merupakan dasar yang sahih dalam membolehkan menghitung zikir dengan alat tasbih dengan taqrir daripada Junjungan Nabi s.a.w., kerana alat tasbih itu dalam pengertiannya sama sahaja dengan biji-biji kurma atau kerikil kerana tidak ada perbedaan antara yang tersusun dengan yang bercerai-cerai(yakni alat tasbih disusun dengan diikat benang dan biji-biji atau kerikil tadi tidak).


DAN TIDAK USAH DIHIRAUKAN ORANG YANG MENGATAKAN IANYA BID`AH. Telah berkata para masyaikh bahawa alat tasbih itu cambuk/cemeti syaitan ( untuk menghalau syaitan kerana ianya digunakan untuk berzikir dan kita tahu bahawa syaitan tak suka dan akan lari dari orang yang berzikir).

AKU MAHU TINGGALKAN HIDUPKU DIATAS SEJADAH ..

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"

Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.

Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.
Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."

Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.

Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.

Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.

Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"

Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.

Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."

Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.

Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.

Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.

Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...
Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.

Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.

Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini