Followers

Selasa, 8 Jun 2010

HENTI KEANGKUHAN YAHUDI

Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia mengecam kekejaman dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau serta biadap tentera rejim Zionis Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kerana menyerang konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei tanpa alasan di perairan antarabangsa.

Perdana Menteri, berkata serangan tidak berperikemanusiaan itu melanggar norma perundangan antarabangsa dan tata kelakuan bertamadun kerana ketika serangan, kapal Mavi Marmara berada di kedudukan 65 kilometer dari pesisiran pantai Gaza.
Beliau berkata, tiada sebarang alasan untuk tentera Israel bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik.
"Jika perbuatan sama dilakukan negara lain, tentunya negara berkenaan akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ini membuktikan sikap berat sebelah Majlis Keselamatan PBB dalam melaksanakan amanah.

Malaysia juga mendesak Amerika Syarikat untuk tampil, tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam memastikan rejim itu mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang bertamadun kerana selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematu-han nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak akan ada kesudahannya," katanya ketika membentangkan usul mengutuk serangan tentera Israel, pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Perdana Menteri berkata, kezaliman rejim Zionis akan berterusan, malah Israel akan bersikap angkuh, ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan hingga rakyat Palestin terbelenggu jika masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam diri.

Beliau berkata, walaupun kecewa atas kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan keras terhadap rejim Zionis, Malaysia akan tetap berusaha keras memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang menderita sejak lebih 60 tahun lalu.
Perjuangan ini tidak akan tamat sehingga sebuah negara Palestin merdeka, berdaulat, kendiri ekonomi dapat dibangunkan. Saya juga menyuarakan komitmen serta pendirian Malaysia ini kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ketika lawatan beliau ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, selaras usaha membawa kes kekejaman tentera Israel ke mahkamah antarabangsa, Malaysia akan mendesak rejim Zionis membayar ganti rugi serta pampasan semua harta benda, makanan, alat binaan dan perubatan, termasuk kapal yang ditawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang dirampas secara haram.

Israel juga perlu membayar ganti rugi akibat kesan trauma psikologi, mental dan fizikal serta sebarang pampasan yang difikirkan layak oleh mahkamah antarabangsa," katanya.

Perdana Menteri juga menyatakan sokongan terha-dap penubuhan suruhan-
jaya penyiasatan antarabangsa yang bebas, adil dan berkecuali bagi menyiasat insiden itu, termasuk pemilihan bekas Perdana Menteri New Zealand, Sir Geoffrey Palmer mengetuai siasatan itu.

Najib juga berkata, beliau mendengar sendiri pengalaman 12 rakyat Malaysia yang terbabit dalam detik cemas serangan Israel apabila mereka turut didera secara mental ketika dalam tahanan

Tiada ulasan: